fbpx
Dalam diam, tidak lama selepas berkahwin, isteri Afiq kembali menjalinkan hubungan dengan bekas tunangnya. – Gambar hiasan

K2

Isteri masih jalin hubungan dengan bekas tunang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMPUNYAI sifat pemalu dalam diri membuatkan seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Afiq tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita.

Sebenarnya dia mempunyai keinginan seperti lelaki lain untuk bercinta dengan wanita tetapi sifat pemalu itu menyukarkannya untuk melakukannya.

Disebabkan sifat pemalu itu jugalah dia lambat berumah tangga.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa diri saya begitu pemalu dengan wanita, saya tidak mempunyai keberanian untuk memulakan perkenalan dengan wanita.

“Setelah menjangkau usia awal 30-an, apabila saya masih belum menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita, keluarga telah meminta saya untuk berkahwin memandangkan usia semakin meningkat,” katanya mengimbas saat bujangnya.

Tambah Afiq, dia kemudian menceritakan hal sebenar kepada keluarganya dan menyatakan dirinya masih belum mempunyai teman wanita.

“Keluarga saya kemudian memberitahu mereka akan cuba memperkenalkan saya dengan wanita untuk saya berkenalan dahulu.

“Hasil bantuan kakak ipar saya, saya kemudian berkenalan dengan seorang sahabatnya.

“Kakak ipar saya menyatakan kawannya itu juga mempunyai niat dan ingin mencari calon suami kerana dia telah putus tunang,” jelasnya yang kini berusia 36 tahun.

Mereka berdua akhirnya berkenalan antara satu sama lain.

Afiq mengakui, dia agak kekok untuk berkenalan dengan wanita itu dan tidak tahu untuk memulakan perbualan saat kali pertama bersua.

Setelah beberapa kali bertemu, Afiq rasa selesa untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan wanita itu.

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga setelah tiga bulan berkenalan.

Bukan sahaja sering menolak untuk bersama, isteri Afiq juga mudah
baran jika ada yang tidak kena bagi dirinya. – Gambar hiasan

Pada awal perkahwinan, semuanya baik-baik sahaja.

Namun begitu, setelah memasuki lima bulan usia perkahwinan, Afiq mendapati isterinya mula berubah.

“Apabila saya mengajaknya untuk bersama, dia menolak, malah kadangkala kami bersama hanya dua kali dalam sebulan.

“Sebagai pasangan yang baru berkahwin, sudah semestinya saya ingin kerap bersama dengan isteri saya yang sah.

“Bukan itu sahaja, ketika kami bersama, saya melihat isteri saya melayani saya seakan terpaksa, tidak sebagaimana awal-awal berkahwin,” terangnya.

Dalam pada itu, Afiq juga mendapati isterinya itu sering pulang lewat ke rumah dan memberi alasan banyak kerja yang harus diselesaikan di pejabat.

Bukan itu sahaja, isterinya itu juga telah menukar kata laluan telefon pintarnya.

Dia juga tidak membenarkan Afiq untuk memegang telefon pintarnya dan menyatakan ia sesuatu yang peribadi.

Mengulas lanjut, Afiq berkata, setelah berkahwin barulah dia dapat mengetahui akan sikap sebenar isterinya itu.

Isterinya juga merupakan seorang yang cepat baran dan sering memarahi Afiq jika ada perkara yang tidak kena baginya.

“Setelah melihat perubahan yang ditunjukkan oleh isteri, saya merasakan ada perkara yang tidak kena dengan dirinya.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengikutinya dalam diam ketika dia mengatakan ingin keluar untuk bertemu dengan rakan-rakannya pada hujung minggu,” kata Afiq.

Ternyata isterinya itu telah berbohong kepadanya.

Afiq melihat sendiri isterinya itu telah bertemu lelaki lain dan mereka berjalan sambil berpegangan tangan dengan begitu mesra.

Tanpa berfikir panjang, Afiq terus pergi kepada isterinya itu untuk mengetahui siapakah lelaki tersebut.

“Berlaku sedikit perbalahan di situ dan kemudian lelaki yang bersama isterinya itu lari meninggalkan saya bersama isteri.

“Saya menarik tangan isteri saya pulang ke rumah untuk berbincang dan akhirnya isteri saya mengakui bahawa lelaki tersebut adalah bekas tunangnya yang merupakan kekasihnya sebelum ini,” ulasnya dalam nada kecewa.

Isteri memberitahu, setelah empat bulan mereka berkahwin, bekas tunang isterinya itu kembali menghubunginya.

Afiq berkata, sebenarnya, isterinya itu masih menyayangi bekas tunangnya dan disebabkan itu mereka menjalinkan hubungan dalam diam di belakangnya.

Pada ketika itu juga, isteri Afiq minta dilepaskan kerana dia ingin bersama kembali dengan bekas tunangnya.

“Bagi saya, tidak ada guna untuk saya mempertahankan lagi hubungan yang kami bina kerana di hati isteri saya ada orang lain dan bukan saya.

“Akhirnya, setelah berfikir panjang saya mengambil keputusan untuk melepaskannya dan kami berdua sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN