BESUT – Hobi mencari orkid liar di dalam hutan memberi rezeki buat pasangan suami isteri hingga mampu menjana pendapatan lumayan buat mereka.
Fauzi Mat, 47, berkata, dia dan isteri, Zabidah Haron, 43, mula berminat memasuki hutan berhampiran untuk mencari orkid liar sewaktu baru bergelar suami isteri lebih 21 tahun lalu.
“Pada mulanya, ia sekadar hobi untuk hias laman. Kami masuk hutan di sekitar Terengganu dan Kelantan hingga dapat kumpul lebih 100 jenis orkid hutan,” katanya ketika ditemui di Kampung Beliku, Hulu Besut di sini semalam.
Menurut Fauzi, antara koleksi orkid liar dimilikinya ialah selipar atau nama saintifiknya slipper orchid, bulbophyllum penduliscapum, orkid harimau atau grammatophyllum speciosum serta dendrobium primary.
Tambahnya, orkid hutan lebih unik dan mempunyai peminat tersendiri berbanding hibrid.
“Nurseri kami sering dikunjungi peminat orkid yang datang untuk beli pokok antara RM15 hingga RM300 mengikut spesies dan saiz pokok,” katanya.
Ujar Fauzi, nurseri itu turut menarik minat Universiti Sains Malaysia untuk melakukan kajian dan pembiakan beberapa spesies yang sedang diancam kepupusan.
“Selain itu, saya juga cuba menanam pokok raja satong iaitu sejenis tanaman herba yang dikatakan mampu menjadi penawar buat penyakit barah,” katanya.
FAUZI menunjukkan sebahagian koleksi pokok orkid liar yang dibela di nurseri miliknya di Kampung Beliku, Hulu Besut semalam.














