JELAS terasa krim vanila berlemak cair di dalam mulut saat croissant dikunyah wanita Melayu berusia 24 tahun itu.
Pecahan halus lapisan nipis luar croissant dengan adunan sourdough menambahkan lagi keenakan makanan klasik Perancis tersebut.
Bagi menyeimbangkan rasa manis croissant, pemilik nama Suhana Ibrahim itu memesan secawan kopi pekat sebagai minuman.
Menurut pekerja di sebuah syarikat swasta tersebut, dia mula meminati pastri Perancis sejak sering dimomokkan dengan kelazatan juadah tersebut menerusi ruang media.
“Dalam siri Netflix, Emily in Paris musim pertama, ada babak Emily makan croissant dan nampak sangat menyelerakan.
“Saya memang teringin nak cuba, tetapi saya tidak mampu hendak ke Paris. Nasib baik di Malaysia memiliki kafe yang menjual croissant autentik Perancis,” katanya kepada K2.
Suhana merupakan salah seorang penggemar pastri Perancis yang sering mengunjungi kafe FASO Patisserie terletak di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Akhir-akhir ini minat masyarakat terhadap roti, kek dan pastri semakin diminati rakyat Malaysia.
Menurut laman data Eropah iaitu Statista, nilai jualan produk bakeri di Malaysia pada tahun 2022 adalah sebanyak RM12.48 bilion.
Jumlah tersebut bermaksud terdapat peningkatan dalam nilai jualan 2022 produk bakeri berbanding tahun sebelumnya.
Bahkan, data yang dikeluarkan pada Februari 2023 tersebut menunjukkan peningkatan yang konsisten setiap tahun sejak 2019.
Data tersebut juga dapat dilihat berdasarkan jumlah pembukaan bakeri di seluruh Malaysia yang kini wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Pastri cukup sinonim dengan Perancis. Menurut Mydelicioussweets.com, apabila berbicara mengenai pastri di Eropah, negara pertama yang tidak boleh dilupakan ialah Perancis.
Permulaan pembuatan pastri di Perancis dikatakan bermula sejak 1400-an.
Menurut pemilik kafe FASO Patisserie, Fariza Hani, 41, terdapat perbezaan di antara pastri Perancis berbanding pastri negara-negara lain.
Pastri Perancis perlu dibuat khas secara buatan tangan dan menggunakan bahan asas import daripada hasil negara Napoleon itu.
Ini kerana, tepung negara itu memiliki tekstur lebih lembut, kurang gluten dan mengandungi bijirin yang hanya boleh ditanam di Perancis.
Ujarnya lagi, wilayah Normandy di Perancis menghasilkan mentega berkualiti tinggi kerana rumput yang diragut lembu negara itu subur dan tumbuh dalam iklim yang sederhana.
“Lembu-lembu di Perancis hasilkan susu dengan kandungan lemak mentega yang tinggi sekali gus memberikan rasa berlemak dan berkrim.
“Mereka memiliki tepung berbeza gred untuk setiap jenis pastri dan tidak bersifat serbaguna seperti yang diamalkan di negara-negara lain,” katanya.
Tambah wanita yang pernah menetap di Perancis itu, pastri negara tersebut juga memerlukan masa lama dan ketelitian dalam penghasilannya berbanding pastri versi negara lain.

Sebagai contoh, penghasilan croissant memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari sebelum ia sedia dihidangkan.
Proses tersebut diperlukan bagi menawarkan masa bersesuaian untuk doh berkembang, berehat dan membentuk rasa dan tekstur penuh.
Selain croissant, antara yang termasuk dalam kategori pastri Perancis adalah baguette, madeleines, macaron, Paris-brest, st. honore, kouign-amann dan mille-feuille.
Mengulas berkenaan keunikan kafe Perancis di Malaysia, Fariza berpendapat, kepelbagaian budaya membuka ruang kepada penghasilan pastri Perancis sentuhan rasa tempatan.
Di Malaysia, misalnya pastri Perancis dimasukkan inti cita rasa tempatan seperti rendang.
Katanya, pastri dengan kepelbagaian rasa baharu tidak wujud di negara Perancis kerana masyarakatnya lebih menggemari gaya klasik.
Selain itu, penukaran bahan-bahan berunsurkan alkohol kepada bahan-bahan halal juga dilakukan bagi memastikan makanan itu masih dapat dinikmati umat Islam.
“Di Perancis, sukar nak jumpa pastri fusion kecuali di kedai yang dibuka di kawasan tumpuan pelancong kerana mereka lagi suka gaya klasik.
“Gaya klasik kebanyakannya juga memiliki unsur alkohol. Ini menjadikan kafe Perancis terutama milik Muslim sangat unik kerana boleh dinikmati semua.
“Perkara ini dapat membuka ruang kepada peneroka rasa baharu tanpa menjejaskan keaslian teknik pembuatan pastri tersebut,” katanya.
Sementara itu, profesor di Sekolah Pengurusan Perkhidmatan Hospitaliti, Universiti Sunway, Petaling Jaya, Selangor, Patrick Siau akui Perancis merupakan negara idaman sesiapa saja yang berada dalam bidang kulinari.
Ini kerana, sekolah kulinari Perancis, seperti Le Cordon Bleu telah memainkan peranan penting dalam memelihara dan menyebarkan seni pembuatan pastri Perancis.
Institusi tersebut telah melahirkan generasi cef mahir pastri yang terus berinovasi dan mencabar sempadan teknik tradisional.
Akuinya, ramai di antara pelajar yang mahu mengkhusus kepada bahagian pastri Perancis.
“Namun, saya nasihati mereka untuk belajar kesemua asas kulinari terlebih dahulu. Ini kerana, saya tidak mahu mereka ini terbawa-bawa dengan sebarang budaya popular.
“Di Malaysia, pastri bukan makanan ruji. Oleh itu, lebih baik mereka bekalkan diri dengan ilmu yang membolehkan mereka dapat pekerjaan terlebih dahulu.
“Selepas itu, kalau nak sambung belajar dalam seni Perancis, terpulang kepada mereka,” jelasnya.
Jurulatih yang mengetuai pasukan Malaysia merangkul trofi Piala Dunia Pastri 2019 itu ditemui ketika majlis pelancaran semula epal Perancis oleh Persatuan Antara
Cawangan Untuk Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Segar Perancis (Interfel).
Pada majlis tersebut, lelaki itu menunjukkan demonstrasi penggunaan epal Perancis berbeza ke dalam tiga jenis pastri olahannya.
Antara resipi diperkenalkan ialah pomme de jardin (royal gala dan Kissable), chilled caramelised apple (Candine) dan the smith apple (Granny Smith).
Kongsi Patrick, pembuatan pastri di Malaysia memiliki rasa berbeza berbanding di Eropah kerana keterhadan akses terhadap jenis buah-buahan yang diimport.
Dengan itu, dengan kemasukan epal dari Perancis ini, masyarakat boleh merebut peluang untuk mencuba resipi yang lebih autentik seperti di negara itu.
“Setiap epal memiliki rasa dan tekstur berbeza yang memberikan hasil berlainan terhadap pastri yang dibuat.
“Oleh itu, kemasukan epal dari Perancis ini perlu direbut peminat pastri untuk membuat pastri kegemaran mereka,” katanya.
















