PADA Sukan Olimpik Beijing 2008, dua warga Jamaica, atlet lelaki, Usain Bolt dan atlet wanita, Shelly-Ann Fraser-Pryce membawa pulang pingat emas dalam acara larian 100 meter.
Dalam pelbagai temasya berikutnya, Jamaica terus mencatat rekod cemerlang dalam mempertahankan pingat emas dalam kebanyakan acara balapan.
Bahkan, daripada satu senarai yang disiarkan Sports Brief baru-baru ini bagi senarai manusia terpantas di muka bumi sehingga tahun 2023 menunjukkan tiga daripada lima terpantas larian 100 meter adalah dari Jamaica. Bolt di tangga pertama dengan 9.58 saat, Yohan Blake 9.69 (ketiga), Asafa Powell 9.72 (keempat).
Dengan pencapaian tersebut, maka tidak hairanlah negara pulau kecil di kepulauan Caribbean itu mendapat jolokan sebagai kilang pengeluar pelari pecut terbaik dunia.
Negara itu mempunyai populasi kira-kira 3 juta orang sahaja. Bandingannya seperti satu per sebelas rakyat Malaysia yang kini berjumlah 33 juta.
Namun, penguasaan Jamaica dalam dunia olahraga sentiasa dikagumi ramai. Pelari pecut legenda Amerika Syarikat, Michael Johnson juga mengakui penguasaan trek oleh atlet Jamaica.
Kebanyakan nama terhebat sepanjang zaman dalam dunia olahraga tidak kira lelaki mahupun wanita berasal dari Jamaica, termasuk pelari pecut legenda Bolt, Blake, Powell, Shelly-Ann Fraser-Pryce dan Shericka Jackson.
Johnson memuji jumlah pelari pecut yang berjaya ke pentas antarabangsa dari Jamaica, malah menzahirkannya dalam satu ciapan di laman sosial X miliknya apabila seorang netizen mempersoalkan dirinya sangat taksub dengan orang Jamaica.

Johnson membalas ciapan: “Benar! Walaupun mereka mempunyai populasi kurang daripada 3 juta, namun negara itu adalah kilang pelari pecut terbaik di dunia. Tiada sesiapa dalam sukan ini yang tidak taksub dan kagum mengenainya,” tulis Johnson.
Terdapat banyak penjelasan mengapa atlet dari Jamaica begitu bagus, namun apa yang pasti kanak-kanak di negara itu sangat suka berlari.
Menurut jurulatih di sebuah sekolah swasta, Mona Preparatory School di Kingston, Locksley Anderson, majoriti pelari Jamaica direkrut dan mendapat latihan seawal usia tiga tahun.
“Mereka datang ke sekolah pada usia tiga tahun dan di usia semuda itu anda akan melihat bakat semula jadi.
“Anda melihat bagaimana kanak-kanak ini berjalan, berlari dan dari situ kita akan mencungkil serta mengembangkan bakat mereka,” katanya dalam satu temu bual.
Tambahnya, meskipun bakat pelari dicungkil di usia muda, mereka tidaklah dikerahkan dengan latihan yang intensif sebaliknya larian dijadikan satu budaya dan hobi untuk kanak-kanak berseronok. Hal itu menjadikan larian sebagai bakat semula jadi mereka, sekali gus menjadi sebahagian daripada diri masing-masing.
Dalam sejarah acara pecut dunia, Bolt dan Powell mendominasi acara 100 meter lelaki sejak tahun 2005.
Rekod dunia 9.58 saat Bolt masih tidak dapat dipecahkan selepas 14 tahun.
Bagi pelari wanitanya pula, Shelly-Ann Fraser-Pryce, Elaine Thompson-Herah dan Shericka Jackson mendominasi podium dalam Olimpik Tokyo 2020 di mana Thompson-Herah memenangi emas, Fraser-Pryce meraih perak dan Jackson memenangi gangsa dalam acara 100 meter wanita.
Thompson-Herah turut memenangi emas dalam acara 200 meter wanita, malah terdahulu dia turut memenangi dua pingat emas pada Olimpik Rio 2016 bagi 100 meter dan 200 meter wanita.
Pencapaian Jamaica ini merupakan hasil daripada modul negara tersebut dalam melahirkan atlet bertaraf dunia.
Jamaica mungkin satu-satu negara di dunia yang meletakkan acara trek larian sebagai sukan paling popular negara itu sebagaimana populariti bola keranjang atau bola sepak di negara lain. Menurut Playersbio.com, olahraga sukan No.1 Jamaica diikuti kriket dan bola sepak.
Jamaica merupakan sebuah negara miskin dan berlari boleh dikatakan sukan paling murah.

Ketika Jamaica mula menyertai Olimpik pada 1948, negara itu sebenarnya bermula unggul dengan acara larian jarak sederhana seperti 800 meter dan 400 meter. Arthur Wint meraih emas bagi 400 meter dan rakan senegara, Herb McKenley raih perak.
Namun, sejak 1968, pasti ada saja wakilnya yang menaiki podium bagi acara 100 meter dan bermula kurun ke-21 mereka mendominasi acara itu.
Ramai pihak menyifatkan ia banyak disumbangkan oleh satu kejohanan di peringkat sekolah yang dinamakan The Inter-Secondary Schools Boys and Girls Athletics Championship atau Champs. Kejohanan tahunan berlangsung selama empat hari yang menghimpunkan 30,000 anak muda penggila sukan olahraga itu dikatakan melahirkan generasi atlet ulung Jamaica.
Bayangkan, ‘Bapa Kemerdekaan’ negara itu sendiri, Norman Manley juga adalah juara Champs yang memegang rekod 100 meter dari 1911 hingga 1952.
Sejarah juga mungkin memainkan peranan. Kebanyakan penduduk Jamaica adalah berketurunan dari Afrika Barat yang dijadikan hamba. Ketika jutaan hamba ‘kecundang’ di sepanjang laluan, mereka sampai di Jamaica yang merupakan hentian terakhir kapal hamba di Caribbean sekali gus menjadikan rata-rata yang tiba ke situ adalah golongan paling kuat, cergas dan kental dari Afrika. Selepas dibebaskan mereka mewariskan gen ini kepada keturunan mereka.
Saintis turut mengaitkan kelebihan ini pada fizikal tubuh mereka. Kajian University of West Indies dapati pelari-pelari Jamaica mempunyai lebih banyak serat otot ‘fast-twitch’ yang berperanan mencetus ‘ledakan pergerakan’ dan membantu aktiviti pecutan.
Terdapat teori yang mengaitkan ‘gen pecutan’ ACTN3 atau ‘fast-twitch’ ini hasil daripada memakan keladi dan tanah di pulau itu yang kaya aluminium lalu menyerap ke dalam tumbuhan dan diet para ibu yang hamil.
Banyak pelari elit Jamaica tinggal di kawasan yang tanahnya kaya aluminium termasuk Bolt dan Veronica Campbell.
Pengkaji dari Northumbria University, United Kingdom pula mendakwa pelari-pelari Jamaica mempunyai lutut dan buku lali yang simetri dan mendapati ia membantu dalam memecut larian.
Terdapat juga pihak mendakwa ramai pelari Jamaica mempunyai jantung yang lebih besar daripada kebiasaan orang sekali gus boleh mengepam darah berkandungan oksigen tinggi kepada otot semasa bergerak laju.
Selain itu, kecemerlangan juga dikaitkan semangat dan motivasi yang sering didorong atlet terdahulu. Kini, kebanyakan pelari Olimpik negara itu berlatih di tanah air sendiri.
Orang Jamaica berjuang berteraskan falsafah yang ditulis oleh juara Champs dan Olimpian terdahulu: “Apabila kita ke dunia luar, tiada apa yang kita mahukan melainkan kemenangan. Untuk menang. Untuk menang. Untuk menang. Untuk dominasi. Hancurkan mereka!”
Selain itu, menurut pakar endokrinologi dan presiden Universiti Teknologi Jamaica (Utech), Dr. Errol Morrison, orang Jamaica mempunyai kelebihan yang mana mereka boleh mengangkat lutut tinggi apabila mereka berlari.
“Ini adalah atlet keturunan kulit hitam. Mereka mempunyai anggota badan panjang dan sedikit lemak yang memberikan anda banyak kelebihan ketika berlari.
“Sekarang, dalam lari pecut, angkat lutut adalah prinsip asas, melakukan itu akan memanjangkan kaki dan langkah anda ketika berlari,” katanya.
Morrison sebagaimana dilaporkan Jamaica Observer pada 2011 turut mendakwa amalan makan keladi dan pisang hijau (green bananas) juga mungkin menjadi rahsia dominasi Jamaica dalam acara pecut. Keladi dan pisang hijau merupakan hasil utama pertanian Jamaica.
“Ini cuma hipotesis berdasarkan banyak kajian biokimia,” katanya.
Menurutnya, anak-anak Jamaica sejak kecil lagi mengamalkan makan keladi dan pisang.
Jelas Morrison, keladi hasilkan hyposteroids yang bertindak sebagai stimulan, manakala pisang hijau mengeluarkan phytate yang membekalkan curahan tenaga.
Bagaimanapun kata Morrison, kelebihan makan keladi dan pisang hijau itu bukan menyumbang kepada kelajuan tinggi sebaliknya membantu mengekalkan kelajuan dalam tempoh lebih lama.














