fbpx
ADAM Corrie pernah berkecil hati apabila direndah-rendahkan sebilangan orang seolah-olah dirinya tiada nilai dalam kalangan penggiat industri.

‘Dah 11 tahun, masih dipanggil Dragon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEKALKAN wajah bengis, itu satu kelebihan buat pelakon Adam Corrie apabila sentiasa ditawarkan watak antagonis, terutama ketika masih aktif mengorak langkah seni.

Untuk setiap kecintaan yang digauli, sesekali pernah terbit rasa bosan dengan kelaziman tawaran. Setiap waktu, dia seperti mengulangi perkara sama dalam pekerjaannya.

Ujar pemilik nama lengkap Adam Corrie Lee Abdullah, 55, itu, dia bagaimanapun tiada pilihan selain menyambut baik rezeki yang bergolek datang kepadanya.

Kata Adam, biarpun tepu dengan penghayatan karakter serupa, dia sentiasa berfikiran positif kerana sekurang-kurangnya, masih lagi menjadi pilihan pemain industri untuk membawakan watak antagonis, sekali gus meninggalkan kesan terhadap penonton.

WATAK antagonis sudah cukup sebati dalam diri Adam Corrie kerana berbekalkan wajah yang garang dan bengis, sesuai untuk membawakan karakter penjahat. – SADDAM YUSOF

Bengis

“Saya tidak pernah memilih watak dan tidak kisah asyik diberikan watak jahat sebab saya tiada pilihan. Kebanyakan orang nampak muka saya memang sesuai untuk bawa watak antagonis.

“Sehingga saya sendiri tidak boleh ubah persepsi itu. Ada bagusnya juga sebab watak jahat yang saya bawa, biasanya akan meninggalkan kesan dan ingatan pada penonton. Contohnya seperti watak Dragon dalam filem KL Gangster.

“Selepas 11 tahun, sehingga sekarang orang masih panggil saya dengan nama Dragon dalam filem tersebut,” ujar Adam.

Setiap kali ditawarkan berlakon mana-mana filem atau naskhah televisyen, Adam sudah boleh mengagak watak yang akan ditawarkan kepadanya tanpa perlu bertanya.

“Bila ada tawaran lakonan, saya boleh jangka akan dapat watak antagonis. Siapa yang nak beri saya watak orang kelainan upaya (OKU)? Saya tidak mahu fikir watak apa yang saya idam-idamkan. Kita bincang, kalau okey saya ambil, tapi kadangkala saya selektif juga,” katanya.

Berbicara lebih lanjut, Adam yang dahulunya dikenali dengan nama Corrie Lee berkata, dia bersikap selektif bukan kerana memilih watak, namun disebabkan harga yang dibayar adakalanya tidak setimpal dengan kerja keras yang dilunaskan.

TIDAK berkecil hati, Adam cuma merasakan tidak adil apabila terdapat pelakon ‘setahun jagung’ dibayar dengan harga lumayan berbanding pelakon senior sepertinya.

Bayar ‘ciput’

Dengan lantang, dia mendakwa kebanyakkan produksi di Malaysia yang pernah bekerjasama dengannya, sama sahaja iaitu bayar dengan harga ‘ciput’.

Bahkan, jika dia membuka mulut bertanyakan soal bayaran, tanpa mendengar penjelasan lanjut, dirinya terus dilabel sebagai demand (memilih).

“Isu bayaran dari dahulu sehingga hari ini, tiada perubahan. Bila saya tanya soal bayaran, orang terus cop saya memilih tanpa dengar penjelasan saya.

“Bila saya dapat satu-satu tawaran, sudah tentu saya kena tahu berapa mereka (produksi) akan bayar. Tapi bila saya tanya, lain pula jadi.

“Sedangkan pelakon di Hollywood pun akan tanya berapa juta dolar mereka akan dibayar untuk berlakon,” katanya penuh penegasan.

Bukan berniat memburuk-burukkan produksi tempatan, Adam beranggapan, kebanyakan rumah produksi di Malaysia sama sahaja. Walaupun kaya-raya, namun bayaran yang diterima pelakon cuma sedikit.

Lebih membuatkan figura yang mula menceburkan diri dalam bidang seni sebagai penari latar itu terasa hati, apabila timbul sikap ‘pilih bulu’ dan tidak adil terhadap pelakon senior sepertinya jika dibandingkan dengan pendatang baharu.

APA pun terjadi, Adam tidak akan mematikan minat dan rasa cintanya terhadap bidang lakonan yang telah lama diceburinya.

Kongsi bapa kepada seorang cahaya mata itu lagi, situasi sedemikian sangat tidak adil apabila pelakon berpengalaman sepertinya dibayar jauh lebih rendah berbanding pelakon baharu.

“Saya banyak terima tawaran berlakon. Tolak tawaran juga banyak. Puncanya sebab bayaran. Saya pernah keluar bersama seorang pelakon baharu.

“Orang ramai lebih mahu mengambil gambar dan bercakap-cakap dengan saya, berbanding dengan pelakon tersebut.

“Sedangkan pengikutnya dalam media sosial mencecah lebih sejuta orang, berbanding saya. Tapi kenapa orang lebih ramai mahu mengambil gambar dengan saya berbanding dia?

“Namun, bila soal bayaran, artis baharu itu dibayar lebih tinggi berlipat kali ganda berbanding saya,” tuturnya yang tidak mahu bercakap soal populariti.

Hakikatnya, dia berasakan timbul ketidakadilan apabila pelakon senior selalu dipandang sebelah mata, berbanding pendatang baharu dalam industri.

“Sejujurnya, sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya tidak pernah rasa ‘lumayan’.

“Maksudnya, saya tidak pernah dibayar dengan harga setimpal, sesuai dengan pengalaman dan kerja keras yang saya lakukan,” luahnya.

ADAM mengakui bayaran yang diterima untuk satu sesi perkongsian atau ceramah bebas yang dilakukannya lebih ‘masuk akal’ berbanding upah lakonan.

Pendakwah bebas

Perasaan berbeza apabila dia dijemput menyertai mana-mana majlis agama untuk berkongsi pengalamannya bergelar mualaf sebagai pendakwah bebas.

Ujar pelakon yang memeluk Islam pada 2007 ketika berusia 39 tahun itu, bayaran yang diterima lebih ‘masuk akal’.

“Saya pernah dibayar RM4,000 tunai, untuk bercakap selama 20 minit.

“Saya hanya berkongsi cerita penghijrahan saya tanpa melibatkan soal harga. Saya ikhlas kerana Allah SWT, tetapi saya dibayar lebih daripada bayaran untuk berlakon.

“Berbanding bayaran yang saya dapat sebagai pelakon, saya pernah diminta untuk habiskan beberapa babak dalam masa sehari dan dibayar cuma RM500.

“Hina sangat ke saya sehingga mereka (orang industri) merendah-rendahkan saya,” katanya.

Belajar daripada pengalaman, Adam kini tidak lagi berharap kepada sesiapa (manusia), kerana mereka juga adalah makhluk Tuhan.

“Sejujurnya sekarang saya tidak lagi berharap pada sesiapa. Bukan mereka (manusia) yang beri saya rezeki. Cuma rezeki itu diberikan melalui manusia. Yang memberinya adalah Allah.

“Saya sudah berhenti berharap daripada sesiapa pun. Apa yang saya lakukan sekarang ialah bangun pada pukul 4.30 pagi, menghadap ‘Dia’ (Allah), solat dua rakaat dan minta pada-Nya.

“Sama ada dapat atau tidak, Dia yang mengatur.

“Kalau tak dapat di sini, mungkin di tempat lain. Sekarang bila jumpa mana-mana produser atau pengarah, saya tidak akan tanya langsung tentang ‘job’.

“Sebab saya pernah ditendang seperti bola, kerana dianggap menagih tawaran daripada mereka,” katanya seraya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN