BUKAN semua pasangan yang melalui episod perceraian dapat merasai kemanisan fasa rujuk selepas menghadapi badai terbesar dalam rumah tangga mereka.
Tiada siapa yang tahu aturan Tuhan, selepas turun naik mahkamah berbulan-bulan lamanya dan disahkan bercerai, ikatan yang terlerai kembali bertaut.
Kemanisan tersebut yang dirasai Diana Danielle dan Farid Kamil ketika ini apabila memilih untuk kembali rujuk sebulan selepas bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.
Bagi Diana, istilah rujuk tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya selepas bercerai tetapi segala ego dalam diri runtuh apabila memikirkan anak-anak.
Perpisahan sepanjang tempoh proses perceraian juga mengajarnya menjadi individu lebih matang selain memberi ruang buat kedua-dua mereka untuk muhasabah diri.
Motivasi anak-anak
Tanpa sedar, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu mengakui keputusan kembali bergelar isteri kepada Farid bukan sahaja memberi kebaikan kepada dirinya tetapi juga dua anak mereka iaitu Muhammad dan Nur Aurora.
Lebih bersemangat malah prestasi pelajaran juga menunjukkan peningkatan mendadak, itu yang berlaku pada Muhammad dan Aurora ketika ini.
“Keadaan makin stabil dan suka melihat keceriaan anak-anak. Mereka berdua nampak lebih gembira dengan kehidupan sekarang.

“Persekolahan dan prestasi pelajaran mereka juga menunjukkan peningkatan mendadak. Mereka lebih fokus dalam setiap aktiviti tanpa sebarang gangguan melibatkan hal keluarga seperti sebelum ini,” kongsinya kepada HibGlam baru-baru ini.
Melihat kebahagiaan yang terpancar pada wajah anak-anak, Diana tidak lagi meragui keputusannya kembali ke pangkuan Farid.
“Apabila mereka semangat, saya dan Farid pun rasa rujuk semula satu keputusan yang tepat.
“Ternyata pilihan kami ini memberi refleksi besar terhadap anak-anak. Itu yang kami baru sedar,” kata aktres berusia 32 tahun berkenaan.
Selain keluarga, hubungan Diana dan Farid sebagai suami isteri juga semakin baik berbanding sebelum ini.
Banyak hal yang dipelajari termasuk memperbaiki kelemahan dalam diri masing-masing serta saling melengkapinya dengan kelebihan yang ada.
“Dalam perhubungan pula, ada banyak yang sedang dan akan kami lakukan.
“Kekurangan sentiasa ada tetapi kami akan cuba perbaiki dan lebih bertoleransi.
“Kami belajar tambah baik, saling memaafkan, perbaiki komunikasi serta terima baik buruk satu sama lain,” tutur bintang filem Magika itu.
Diana juga memaklumkan tidak akan sesekali berhenti belajar dan berusaha mengekalkan kebahagiaan yang dikecapinya hari ini.
“Setiap hari adalah proses pembelajaran dan pastinya perceraian yang berlaku tempoh hari pengajaran terbesar dalam hubungan saya dan Farid.
“Kami akan sentiasa bersama dan tanpa lelah menambah baik setiap hal yang berlaku, doakan,” katanya lagi.
Tiada ‘isi’
Berkali-kali menafikan, Diana masih dibanjiri dengan pertanyaan dan dakwaan dirinya sedang berbadan dua.
Tidak pernah melenting apatah lagi ‘mencuka’ dihujani pertanyaan yang sama, dia percaya ramai menanti khabar gembira daripadanya.
“Saya sedia maklum ramai berharap saya hamil selepas rujuk.
“Hakikatnya tidak hamil dan belum bersedia untuk ke arah itu. Selera makan bertambah, sebab itulah badan saya nampak berisi” ujarnya.
Meskipun penat diajukan soalan sama, Diana tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak.
Menurutnya, dia bukan menolak untuk menambah ahli keluarga tetapi dia mahu memberi tumpuan terhadap zuriat sedia ada terlebih dahulu.

“Saya tahu niat orang baik, mereka mahu lihat saya hamil lagi.
“Saya sendiri pun tidak menolak rezeki tetapi buat masa ini belum mampu lagi untuk tambah zuriat.
“Bukan tak mampu aspek kewangan tetapi saya mahu fokus kepada Muhammad dan Nur Aurora.
“Saya rasa Aurora pun belum puas jadi anak bongsu dan usianya baru mencecah lapan tahun,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada emosinya terkesan apabila bentuk fizikalnya dipertikai ramai, Diana berkata dia sedikit pun tidak ambil hati.
“Mungkin saya lebih bagus berisi, sebab itu tak ambil hati.
“Biarlah orang nak cakap apa pun, itu bayaran apabila menjadi insan yang dikenali. Lagi pun, mereka doa yang baik, bukannya perkara buruk,” jelasnya mengakhiri temu bual.














