REKAAN depan Innova Zenix lebih garang dengan jerigi gril heksagon.

MPV gaya estetika crossover

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOYOTA Innova diperkenalkan di Malaysia untuk menggantikan model Unser. Model ini cukup popular di Indonesia sehingga kini dengan nama Kijang.

Model ini turut popular di Malaysia sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan karakter sedikit tinggi.

Karakternya yang menawarkan tempat duduk banyak dengan jenama Toyota serta harga menarik mungkin menjadi faktor tarikan kepada model ini.

Malah, ada yang menggelarkan Innova ini kereta ustaz kerana mungkin ramai yang memandunya memakai kopiah.

Pada Jun lalu, UMW Toyota telah memperkenalkan generasi ketiga model itu dengan tanda nama lebih moden, Innova Zenix serta menawarkan dua pilihan enjin.

Pilihan tersebut adalah enjin elektrik hibrid (HEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) secara maya.

Dengan pelancaran Innova Zenix, ia telah mempamerkan komitmen Toyota untuk mencapai sasaran neutraliti karbon selaras matlamat Malaysia menjelang tahun 2050.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji model Innova Zenix HEV selama beberapa hari.

Dari sudut luaran, Innova Zenix sudah mengubah reka bentuk MPV tradisional kepada estetika crossover yang dinamik.

INNOVA Zenix menggunakan rim bersaiz 18 inci.

Rekaan hadapan lebih garang dengan jeriji gril heksagon baharu yang besar, lampu utama LED dengan auto high beam, lampu isyarat dan lampu siang di bawah lampu utama.

Pada bahagian sisi, model ini menggunakan rim bersaiz 18 inci, bahagian belakang pula hadir dengan fungsi but elektrik.

Masuk ke ruang kabin, terasa suasana premium kerana beberapa bahagian di ruang dalaman menggunakan elemen soft touch.

Untuk varian HEV, ia juga hadir bersama ciri-ciri bumbung suria dan tempat duduk barisan kedua jenis kapten. Malah, pelaras penghawa dingin belakang juga hadir dalam bentuk digital.

Model diimport sepenuhnya (CBU) ini menggunakan enjin 2.0 liter HEV dan transmisi E-CVT yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 186PS dan tork tertinggi 188Nm pada 4,400 hingga 5,200 rpm, manakala tork e-motor mencecah 206Nm.

TEMPAT memandu Innova Zenix cukup selesa untuk pemanduan jauh.

Selain itu, model ini hadir dengan Toyota Safety Sense 3.0 (TSS3.0) yang menetapkan penanda aras industri baharu untuk teknologi keselamatan termaju.

TSS3.0 termasuk ciri dipertingkatkan seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) with Steering Assist, Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise

Control (DRCC) dan Automatic High Beam (AHB).

Kesimpulannya, penulis rasa model ini cukup berbaloi dari segi spesifikasi yang ditawarkan dengan ruang dalaman luas dan direka dengan teliti.

Penulis difahamkan model ini dibina dengan platform termaju Toyota New Global Architecture (TNGA), Innova Zenix menetapkan standard baharu dalam aspek kemewahan dan keselesaan crossover segmen-C.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN