Tahun 1994, saya ‘floor manager’ konsert mega M. Nasir – Hattan
Oleh MOHD. HAIKAL ISA
19 Disember 2023, 8:14 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAM pada waktu itu jarumnya menunjukkan pukul 2 petang.
Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), berlangsung sidang akhbar Sifu Dan Aku yang bakal menyaksikan buat perdana kali, dua pemuzik hebat tanah air, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan disatukan pada 3 Februari 2024.
Penyatuan dua anak seni yang bukan calang-calang.
Kalau tidak, masakan selepas sekian lama bertapak dalam industri seni muzik tanah air, baru sekarang mereka dapat digabungkan bersama dalam sebuah persembahan bertaraf konsert.
Menjanjikan hanya yang terbaik pada tarikh keramat tersebut, M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed tidak keberatan mengimbas detik awal perkenalan dengan Hattan berpuluh tahun dahulu.
‘Hattan memang bersungguh-sungguh’
“Hattan seorang manusia yang sangat bersungguh-sungguh ingin berada dalam industri muzik.
“Industri muzik ini ada dua tiga jenis; satu, jadi pemuzik dan menyanyi di kelab tetapi, menjadi artis rakaman ini adalah satu cabang yang lain.
“Yang kedua itu buat album dan termasuklah menyanyi di pentas. Bukan menyanyi di kelab apa semua.
“Zaman kami dulu memang trend orang buat band. Masuk awal 80-an, band-band rock yang menjadi tumpuan. Dalam 10 tahun itu, memang semua orang nak jadi rockers. 10 tahun kemudian, Hattan muncul sebagai penyanyi solo.
“Sebelum itu, dia pun ada buat band bernama FRU, namun kerjaya solo dia yang paling membekas. Berkat kesungguhan, sampai sekarang Hattan masih berada dalam industri,” ujarnya sebagai mukadimah bicara kepada HibGlam, baru-baru ini.
Lebih tiga dekad saling mengenali, Hattan dan M.Nasir bakal disatukan dalam persembahan berskala besar.
Berbeza dengan M. Nasir, Hattan lebih mendasari saat pertama kali bertemu legenda muzik terbabit. Katanya, dia pertama kali bertemu dengan figura yang disapa ramai sebagai Sifu itu di sebuah kedai burger.
Tidak seperti persepsi umum yang mengatakan bahawa M. Nasir sukar didekati, dingin dan sebagainya, Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabudin menangkis tanggapan tersebut.
“M. Nasir seorang yang suka berbual sebenarnya. Berbual dengan beliau adalah proses yang bermakna. Berborak-borak kosong itu tidak.
“Seperkara lagi, beliau seorang yang kelakar. Setiap perkara yang kita borak dengannya, memang akan ada ilmu. Itulah M. Nasir. Tapi nak dapat semua itu, kita perlu tahu bagaimana untuk mendekatinya,” kata Hattan, 58.
Air cerek sirap
Meneruskan bicara, Hattan mendedahkan bahawa ketika konsert mega pertama pemuzik itu di Stadium Negara pada 1994, dia pernah bekerja sebagai pengurus pentas atau ‘floor manager’ untuk M. Nasir.
“Waktu itu, nama saya memang dah meletup dengan lagu Memburu Rindu, tapi sanggup jadi ‘floor manager’ beliau untuk belajar.
“Itulah konsert yang saya belajar banyak benda. Saya marah, belajar menjerit, macam-macam lagi sebab nak handle itu ini. Masih basah di fikiran minum air pun guna air cerek buat air sirap,” tutur Hattan.
Memperincikan saat awal perkenalan dengan pelantun lagu Apokalips itu, Hattan berkata, lokasi pertemuan mereka di sebuah kedai restoran makanan segera di Bangsar.
“Saya cakap dengan beliau yang saya memang nak jadi penyanyi. Anda tahu apa dia jawab? Dia jawab: ‘Kau bagus ke?’.
Penganjur, Mubarak Akhtar (kiri) dan penganjur bersama, Umair Mahadi (kanan) bersama M. Nasir dan Hattan Pusat yang akan berpadu tenaga menerusi konsert Sifu Dan Aku di Sabah, 3 Februari tahun hadapan.
“Saya dengan keadaan terkejut beruk terus jawab: ‘Bagus’.
“Sebenarnya waktu itu tak tahu nak jawab apa sebab tengah panik. Kalau saya cakap tak bagus, takut nanti dia tak nak ambil saya pula (ketawa). Seingat saya pertama kali jumpa beliau tahun 1986.
“Album dengan FRU dulu buat dengan syarikat milik biras M. Nasir iaitu S. Amin Shahab. Satu album sahaja, selepas itu saya tinggalkan band dan bina kerjaya solo yang kebanyakan masa bersama M. Nasir,” cerita lagi Hattan lagi.
Itu sedikit cerita dua figura berkenaan menyelak helaian kisah lama yang sudah menjadi sejarah. Apa yang berada di depan adalah realiti konsert Sifu Dan Aku berbaki lebih dua bulan dari sekarang.
Cabaran
M. Nasir menganggap konsert Sifu Dan Aku sebagai cabaran memandangkan hubungan dengan Hattan sudah lama terbina.
“Dia menyerlah bakatnya selepas menyanyikan lagu-lagu saya dan kiranya menjadi anak buah saya dalam penerbitan dunia rakaman.
Datuk M.Nasir (kanan) dan Hattan berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat pengikut setia mereka di Borneo pada 3 Februari 2024.
“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berkongsi pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami. Saya pasti peminat di Sabah menantikan konsert ini,” katanya.
Konsert Sifu Dan Aku dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn. Bhd. dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions serta Angkatan Hebat Group. Sementara itu, radio rasmi adalah Era Sabah.
Dalam pada itu, Borneo Excursions adalah agensi pelancongan rasmi untuk konsert Sifu Dan Aku yang menawarkan tiket konsert, pakej pelancongan, pengangkutan dan hotel dengan harga yang menarik.
Tiket-tiket konsert boleh didapati di laman sesawang https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/pada harga RM988 (VIP-tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas).