PETALING JAYA – “Wah, bahagianya dia berjalan dengan suami sambil pimpin tangan, siap dapat hadiah bunga lagi, sweet couple, nampak seiras muka mereka kuat jodohnya.”
Itulah antara pujian yang dinanti-nantikan sebahagian besar individu terutamanya golongan isteri selepas berkongsi gambar dan momen indah bersama suami di media sosial.
Namun, di sebalik senyuman lebar yang terpampang pada skrin, tidak semuanya sedang menikmati kebahagian, malah ada pasanganya masih berjuang mempertahankan rumah tangga mereka sebelum berakhir dengan perceraian.
Pakar Perkahwinan, Industri dan Motivasi, Hushim Salleh berkata, 70 peratus daripada pasangan bahagia di media sosial sebenarnya adalah mereka yang paling bermasalah.
Katanya, sebab itu muncul banyak kes melibatkan penceraian, penderaan rumah tangga serta gangguan orang ketiga secara diam-diam tanpa diketahui orang sekeliling.
“Jangan mudah nilai kebahagiaan melalui perkongsian di media sosial. Ramai yang suka berkongsi momen indah untuk tatapan pengikut di Facebook, Instagram, namun lagi ramai daripada mereka sebenarnya sengsara dalam rumah tangga.
“Contohnya, kalau ada sejuta pasangan yang aktif memuat naik gambar mesra dengan pasangan, 70 peratus daripada mereka sebenarnya sedang alami pergaduhan, masalah suami isteri.
“Terlalu banyak sesi kaunseling saya melibatkan masalah suami isteri, yang jumpa saya terdiri ‘orang kayangan’ hingga orang biasa-biasa. Orang macam itu kita panggil ‘split’ di mana orang luar nampak mereka bahagia, tetapi dalam rumah tangga huru-hara,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurutnya, ada pasangan sememangnya bahagia seperti ditunjukkan melalui muat naik di media sosial, namun lebih ramai menceritakan sebaliknya.
“Saya akui yang pura-pura bahagia lebih ramai sebab mereka tak mahu orang luar tahu masalah mereka.
“Satu lagi, kebanyakan yang suka berkongsi di Facebook, Instagram ini adalah orang perempuan atau isteri. Kalau suami mereka jarang buat. Isteri ini kalau dia sedang gaduh dengan suami, dia masih sempat main telefon muat naik status,” katanya.
Jelasnya, antara sebab kaum isteri berkongsi gambar dan video mesra dengan suami secara maya adalah untuk dijadikan pengubat kesedihan.
“Kenapa isteri ini pilih kongsi momen bahagia sedangkan sedang dalam masalah, sebenarnya orang perempuan suka dipuji.
“Bila kongsi gambar dia dan suami sedang berpeluk, makan semeja, pengikut dia akan komen yang baik-baik, dan ada yang siap doakan kebahagiaan mereka berdua. Jadi dia rasa terubat sikit kesedihan yang ada.
“Di rumah dah berperang, sekurang-kurangnya di media sosial ada yang kata mereka pasangan bahagia. Jadilah nak puaskan hati seorang isteri buat sementara waktu,” kongsinya.
Antara situasi dikongsi Hushim yang dialami kliennya antaranya si isteri berasa kesunyian walaupun hidup mewah selepas suami sibuk urus perniagaan sehingga dia dan anak kerap ditinggalkan.
“Jadi si isteri rasa kesunyian. Suami dia mampu sediakan rumah besar, kereta mewah, bawa isteri makan tempat mewah, jadi bilanya isteri kongsi gambar di media sosial, ramai puji, kata bertuah dapat suami penyayang, mewahkan isteri dan sebagainya,” tambah beliau. -KOSMO! ONLINE
















