PENDIDIKAN nombor satu. Itu yang ditekankan aktres jelita Scha Alyahya buat dua anaknya yang semakin membesar.
Hal ini kerana, wanita itu sangat peka mengenai perihal akademik yang sememangnya penting demi mencatur masa depan lebih terjamin.
Selain menggalas tanggungjawab sebagai ibu, Scha juga sibuk memenuhi tuntutan kerjaya baik dalam cabang lakonan, pengacaraan mahupun perniagaan.
Bagaimanapun, semua itu tidak menghalang juara Dewi Remaja 2005/2006 itu untuk memastikan permata hatinya mendapat yang terbaik terutama dari segi pendidikan.
“Balik penat macam mana pun, saya tetap akan buka beg sekolah anak-anak untuk periksa dan sediakan buku atau pakaian mereka.
“Saya mahu ada bersama mereka kerana tahu mereka sedang membesar. Takut mahu kejar perkara-perkara (kerja) ini tetapi benda depan mata terlepas.

“Saya beruntung sebab boleh pilih tawaran mana yang saya mahu buat atau tidak kerana macam mana sibuk pun saya kena terlibat dengan anak-anak,” katanya membuka bicara.
Disebabkan ketegasan dalam memastikan puteri sulungnya, Lara Alana, 9, penuh ilmu di dada, secara tidak langsung, perkara terbabit membuatkan si kecil itu bimbang dengan keputusan pelajaran yang diperoleh.
“Benda ini saya selalu cakap dengan Awal untuk ambil berat dalam hal akademik Lara.
“Saya sangat memandang serius perkara ini sampai Lara sendiri takut untuk balik rumah sehingga menangis.
“Puncanya kerana takut untuk tunjuk keputusan peperiksaan sehinggakan saya terfikir saya terlalu seriuskah dengan dia sampai takut,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu berkata, tindakannya dalam menekankan pendidikan anak-anak adalah bertujuan demi masa depan mereka.
“Saya memang garang tetapi tidak sampai mengasari anak. Mungkin kerana dia (Lara) tahu saya selalu duduk dengannya lebih-lebih lagi melibatkan hal pelajaran.
“Saya mahu dia fokus akademik. Kalau besar nanti nak jadi apa pun, terpulang kepadanya.
“Selagi saya bertanggungjawab untuk mendidik, saya akan buat sebaik mungkin dan bila dah besar nanti, mereka bebas pilih nak jadi apa,” jelas bintang drama popular Awan Dania itu.

Beza dengan Awal
Selain itu, anak kelahiran Sungai Petani mengakui, caranya dan suami dalam mendidik dua anaknya adalah sangat berbeza untuk memastikan keseimbangan.
“Awal selalu ada semasa masa bermain dengan mereka sementelah saya lebihkan masa waktu belajar.
“Kami mencari keseimbangan dan itu (masa bermain) memang kekuatan Awal kerana saya tidak mampu berbuat demikian,” tuturnya.
Meneruskan bicara, Scha memaklumkan dia pernah terfikir untuk menambah cahaya mata tetapi menangguhkan hasrat tersebut terlebih dahulu bagi membesarkan puteri keduanya.
“Saya macam nak tambah anak tetapi lepas berfikir, saya dan Awal sepakat tangguhkan dulu.
“Sejujurnya semasa Lara membesar kami sangat sibuk sehinggakan tidak sedar dia sudah semakin meningkat usia.
“Rasa macam kurang luangkan waktu bersama,” jelasnya.

Belajar daripada kesilapan
Sejak kehadiran puteri kedua, Lyla Amina yang kini berusia dua tahun, Scha mahu memberikan fokus buat anak bongsunya itu kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lalu.
“Dengan Lyla, kami lebih buka mata untuk habiskan masa dengan dia. Tidak mahu ulang perkara sama ketika membesarkan Lara.
“Memang ingin lebihkan perhatian kepadanya. Disebabkan itu, nak tambah anak kepada fikirkan kualiti.
“Risau kalau tambah akan terbiar, saya bimbang jadi macam itu,” jelasnya pada majlis pelancaran produk Glade Essences yang terbaharu.
Pembabitan Scha bersama jenama Glade sudah memasuki hampir dua tahun dan kontraknya disambung.
“Bagi saya setiap rumah saya dekorasikan bersama lilin atau pewangi rumah.
“Guna dalam kadar yang sederhana dan teliti bahan yang digunakan dalam pewangi, bagi saya okey sahaja,” katanya.

















