fbpx
Anggota polis mengawal lokasi kejadian pembunuhan kejam di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Bunuh ibu selepas tiga hari diikat jamin RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang diberkas kerana membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur malam kelmarin, kembali mengambil dadah selepas tiga hari dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketika kejadian pada pukul 7 malam itu berlaku, suspek yang menganggur berada dalam kea­daan kha­yal dan menikam ke­dua-dua ibu bapanya yang berusia 82 dan 72 tahun secara bertubi-tubi di seluruh badan.

Tragedi berdarah itu berlaku di ruang tamu rumah warga emas tersebut.

Ujian air kencing mendapati, suspek positif tiga jenis dadah iaitu methamphetamine, amfetamin dan morfin.

Menurut sumber, pemeriksaan mendapati, suspek dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 yang dibayar ibunya selepas didakwa di mahkamah berhubung kes dadah pada 1 ­Disember lalu.

“Suspek ditangkap pada 30 November lalu atas kesalahan dadah. Dia dibebaskan selepas ibunya yang berusia 72 tahun membayar wang jaminan pada Rabu lalu.

“Wang itu disediakan oleh ibunya yang merupakan seorang suri rumah,” katanya.

Polis masih belum dapat me­lakukan soal siasat ke atas lelaki itu kerana suspek masih khayal dadah. Semakan mendapati, lelaki itu memiliki sembilan rekod kes dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan juga mendapati, terdapat beberapa kesan tikaman di seluruh tubuh pasangan itu.

Polis merampas enam barangan yang digunakan semasa kejadian iaitu mata pisau, hulu pisau, topi keledar, meja kayu bulat, sebatang kayu, serpihan kayu dan sepasang kasut dipercayai milik suspek.

Jelas beliau, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Dalam pada itu, jiran mangsa yang enggan dikenali membe­ritahu, jeritan suara seorang wa­nita meminta tolong pada waktu maghrib kelmarin membongkarkan penemuan mayat pasangan warga emas tersebut.

Menurutnya, pasangan yang dibunuh itu dikenali ramai di Sungai Penchala kerana mereka merupakan ‘orang lama’ yang menetap di kawasan tersebut.

“Saya dengar jiran beritahu pada mulanya dia mende­ngar jeritan minta tolong selepas itu senyap seketika.

“Pasangan itu ditemui dalam keadaan mengerikan. Memang terkejut bila dapat tahu ada kejadian bunuh sebab tidak pernah berlaku (pembunuhan) di sini.

“Ramai yang kenal mangsa sebab dia selalu datang ke masjid dan merupakan orang lama di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam kelmarin.

Tambahnya, dia melihat suspek beberapa hari lalu membantu bapanya mengemas halaman rumah dan berkebun.

“Saya juga nampak dia (suspek) makan di kedai. Ketika itu dia kelihatan okey saja,” katanya.

Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN