fbpx
SINONIM dengan watak Kapla, aktor muda Amir Ahnaf menepis dakwaan besar kepala yang sedikit mencalarkan imejnya sebagai hero masa depan dalam industri seni tanah air.

Besar kepala? Saya tidak seteruk itu – Amir Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USIA hayat seni Amir Ahnaf baru hanya setahun jagung. Dia masih dalam fasa merangkak memahat nama, namun kontroversi dan cerita sensasi sudah menerjah kamus kariernya.

Sombong, keras kepala, tidak mesra dengan peminat dan pengamal media, itu antara jolokan yang dilemparkan kepada pemilik nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin ketika ini.

Tanpa sedar, segala tohmahan tersebut sedikit mencacatkan resumenya sebagai pendatang baharu ketika ini.

Pada awalnya hanya ingin membiarkan sahaja cerita sebegitu berlalu pergi tetapi lama-kelamaan, hatinya tergores apabila terlalu kerap dilabel sebagai pelakon baharu yang angkuh dan berlagak hebat selepas mengecap populariti.

Berpeluang bertemu empat mata dengan jejaka tinggi lampai itu pada majlis tayangan perdana drama Gamers Mangkuk baru-baru ini, dia mengakui terkejut.

MAHU mengikut resam anak seni Indonesia, Amir mahu mengumpul 15 tahun pengalaman sebelum benar-benar berasa layak digelar sebagai pelakon.

Angkuh, besar kepala

Pelakon berusia 23 tahun itu bertegas, dia tidaklah seteruk gambaran sedemikian.

Baginya, dakwaan sombong itu mungkin tercetus ketika dia terburu-buru pulang awal meninggalkan sebuah acara dek keterikatan jadual penggambaran atau kesihatan diri tidak mengizinkan.

“Ya, saya sedar tentang khabar angin yang bertiup kencang mengenai saya ketika ini tetapi hakikatnya, bukan begitu pun.

“Mungkin waktu dikatakan saya sombong itu, saya tidak sihat atau mahu balik awal dari majlis.

“Semua itu ada sebab-sebab dan mungkin juga saya ada kerja keesokan hari, orang lain tidak tahu pun kerjaya saya,” katanya kepada HibGlam.

Ujar anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, menjadi diri sendiri adalah prinsip yang diamalkannya sejak dahulu.

Baginya, selebriti juga manusia biasa yang adakalanya mempunyai hari kurang baik untuk ditempuhi.

“Saya hanya jadi diri sendiri, saya akan tegur atau bercakap dengan orang lain jika saya mahu.

IMPAK kecemerlangan dalam naskhah Projek High: Council, Amir Ahnaf berjaya merangkul trofi Pelakon Baharu Popular pada Anugerah Bintang Popular tahun ini.

“Mungkin disebabkan itu, ada orang beranggapan saya keras kepala.

“Saya tidak boleh nak ubah pandangan orang, terpulanglah mereka nak cakap apa pun,” tuturnya.

Bagaimanapun, dia mengakui agak terkejut apabila isu keras kepala itu kerap kali dibahas dan dilemparkan kepada dirinya walhal dia sebenarnya jarang muncul dalam khalayak ramai.

“Sejujurnya memang terkejut. Macam mana orang boleh keluarkan pandangan seburuk dan negatif itu sebab kalau boleh saya nak layan semua orang.

“Ketika satu sesi ramah mesra di sebuah pusat beli-belah tahun lalu, ada yang marah apabila saya luangkan masa bertegur dan bergambar dengan semua orang tetapi kalau tak lakukan, isu lain pula timbul.

“Saya sebenarnya seorang yang sangat mudah bergaul dan layan sahaja kalau nak bersembang topik apa pun.

“Saya akan tegur semua orang kecuali kurang sihat atau perlu pulang awal sebab ‘call time’ awal pagi untuk penggambaran,” katanya lagi.

Tidak mahu dirinya terus dilabel sebagai artis bermasalah, bekas finalis Hero Remaja 2021/2022 itu menghulurkan permohonan maaf, sekiranya pernah membuatkan pihak lain berkecil hati.

“Saya minta maaf, saya hanya manusia biasa dan ada khilaf sendiri.

Bercerita perjalanan karier yang kini semakin memuncak, pelakon Project: High Council selayaknya diletakkan sebagai pelakon hero Melayu.

Dia bagaimanapun masih lagi enggan melabel dirinya sebagai pelakon seperti yang dilakukan segelintir selebriti Indonesia sebelum ini.

“Saya baru sahaja pulang dari penggambaran di Indonesia baru-baru ini dan selebriti di sana tidak pernah menganggap diri mereka sebagai pelakon selagi belum memiliki 15 tahun pengalaman dalam dunia lakonan.

“Jadi, saya akan kumpul pengalaman berbelas tahun dahulu dan barulah gelar diri sebagai pelakon, namun ini adalah perjalanan peribadi saya,” jelasnya.

DILABEL sombong, besar kepala dan tidak mesra khalayak, Amir Ahnaf mengakui khilaf namun menafikan keperibadiannya tidaklah seteruk sangkaan orang. – SYAKIR RADIN

Ketika ini, Amir masih lagi menyelongkar potensi diri menerusi kepelbagaian watak dalam beberapa buah drama dan filem.

Usaha itu selari dengan kenyataan yang pernah dituturkan sebelum ini iaitu enggan terlalu cerewet dalam pemilihan karakter kerana masih mencari titik kesesuaian.

“Saya masih lagi mencuba pelbagai karakter dan mencari cara untuk betul-betul bertapak dalam industri,” ujarnya.

Masih tentang omongan orang terhadapnya. Selain isu sombong, dia juga mahu menepis persepsi negatif orang ramai kemunculan artis baharu yang dianggap mahu merampas hak pelakon senior.

“Adakalanya memang sedih dengan tanggapan sebegitu tetapi pemikiran seperti itulah yang saya dan rakan (pelakon baharu lain) mahu ubah.

“Sejak zaman Projek: High Council lagi kami sudah fikir bagaimana nak wujudkan gelombang baharu dibawa oleh sekumpulan pelakon pelapis yang boleh menggegarkan industri seni tanah air.

“Kami bukan nak ‘rempuh’ tempat apatah lagi rampas takhta pelakon lama tetapi cuma mahu bergabung.

“Tiada niat langsung untuk ‘cantas’ rezeki orang lama sebaliknya melihat peluang bergelar pelakon sebagai satu sesi perkongsian bersama bintang senior,” katanya teruja.

SEBAGAI lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Diploma Reka Bentuk & Pembangunan Permainan, drama Gamers Mangkuk sangat berkaitan dengan apa yang dipelajarinya.

Gamers Mangkuk

Tutup buku cerita mengenai kisah kurang molek, Amir teruja berkongsi naskhah lakonan terbaharunya, Gamers Mangkuk yang sudah mula bersiaran menerusi Astro Original sejak 1 Disember.

Katanya, jalan cerita yang mengetengahkan e-sukan iaitu permainan online Mobile Legend antara sebab utama hatinya terbuka untuk menerima tawaran tersebut.

“Saya merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Diploma Reka Bentuk & Pembangunan Permainan, jadi drama ini seperti sangat berkaitan dengan apa yang saya pelajari.

“Sekurang-kurangnya segala ilmu yang saya belajar berkaitan pembangunan permainan online membantu untuk memantapkan lagi watak dan jalan cerita Gamers Mangkuk,” kongsinya yang memegang karakter sebagai Tam.

Dalam masa sama, dia turut memuji inisiatif pihak penerbit dan pengarah menghasilkan sebuah naskhah berkaitan e-sukan yang jarang diketengahkan kepada umum.

“Masyarakat kita jarang didedahkan mengenai e-sukan sehingga timbul persepsi negatif terhadap golongan yang aktif dalam bidang ini.

“Bagi mereka main permainan online adalah buang masa dan tidak mendatangkan faedah.

“Jadi, dengan adanya cerita sebegini, masyarakat boleh membuka mata bahawa pendapatan juga boleh dijana menerusi e-sukan dan banyak kelebihan lain,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Gamers Mangkuk arahan Hyrul Anuar itu turut membariskan Taufiq Izmir, Sathis Varan, Nick Davis dan Sara Mack Lubis sebagai pelakon utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN