SHAH ALAM – Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar penunggang motosikal yang cuba melarikan diri ketika operasi sekatan jalan raya di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini, tengah malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu mengakibatkan anggota polis berpangkat koperal berusia 42 tahun cedera di bahagian muka dan badan.
Wartawan Kosmo! yang turut berada di lokasi kejadian mendapati situasi bertukar detik cemas apabila anggota polis tersebut tidak sedarkan diri hampir lima minit.
Pelanggaran itu turut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 21 tahun itu benjol di bahagian dahi kanan selain luka di siku kiri dan kaki selepas terbabas.
Kedua-dua mereka termasuk anggota polis kemudiannya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas penunggang motosikal itu memecut laju melawan arus menuju arah susur keluar ke dataran Shah Alam sebelum berlakunya pelanggaran tersebut.
Tindakan itu dilakukan penunggang berkenaan hanya dikatakan kerana tidak mempunyai cermin pandang sisi.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan SH Roslee SH Mohd. Norrani menjelaskan agar penunggang motosikal khususnya tidak melarikan diri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini kepada diri dan pengguna jalan raya lain.
“Kami sebagai pihak penguatkuasa menjalankan tugas-tugas dan ketiadaan cermin sisi cermin bukan satu kesalahan yang berat.
“Melarikan diri semasa sekatan jalan raya hanya merbahayakan diri sendiri dan anggota polis bertugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE