PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima Anugerah Kategori Khas Champion CSR Award 2023 sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2023.
Pengiktirafan tersebut diterima atas kemampanan inisiatif YBR meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pendidikan dan program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang tahun bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
Pengerusinya, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, anugerah itu merupakan satu pencapaian dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun dan diharap menjadi penanda aras untuk pihaknya terus membantu masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
“Pengiktirafan ini dapat meningkatkan komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi kredibiliti YBR secara domestik.
“Kami akan sentiasa menggandakan usaha serta strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Benedict Lasimbang berkata, di sepanjang tahun lalu, YBR telah membelanjakan sebanyak RM28.02 juta sebagai peruntukan bantuan pendidikan dan masyarakat. – KOSMO! ONLINE















