fbpx
Suspek memegang mangsa culik di Jeniang, Gurun semalam. Gambar kecil, Ridzuan ditemani isterinya menunjukkan kesan luka pada tangan anak mereka.

‘Saya pujuk beri duit, tapi penculik letak pisau di leher anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GURUN – “Saya hilang kata-kata apabila lihat lelaki itu letak pisau pada leher anak dan mengacah-acah mahu menikam selepas usaha saya memberi wang untuk menukar dengan anak ditolak.”

Demikian perasaan cemas yang dialami oleh Muhammad Ridzuan Borhan, 31, bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang cuba diculik di Jeniang, di sini pagi semalam.

Menurut Muhammad Rizuan, apa yang mampu dilakukan ketika itu ialah berdoa agar ke­selamatan anak tunggalnya, Nur Afina, 3, dipelihara Allah.

“Walaupun kejadian itu berlaku di antara empat ke lima minit, tetapi saya cemas apabila lelaki itu mengacah-acah untuk menikam anak saya selepas dia mula dikepung orang ramai.

“Tindakan pantas seorang peniaga roti canai yang menangkap lelaki warga asing itu daripada belakang akhirnya menyelamatkan anak saya daripada dicederakan suspek,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.

Menceritakan detik sebelum kejadian, Muhammad Rizuan memberitahu, dia membawa anak perempuannya menaiki motosikal untuk membeli roti canai di sebuah kedai di Pekan Jeniang.

“Sampai di kedai itu, saya turun dari motosikal dan menuju ke dalam kedai untuk memesan roti canai, manakala anak saya diletakkan dekat raga motosikal di luar kedai.

“Sebaik hendak menghampiri motosikal, tiba-tiba seorang lelaki mengambil anak saya dan cuba melarikannya sebelum saya memujuknya dengan menunjukkan sejumlah wang,” ujarnya.

Menurutnya, suspek dilihat cukup bengis dan cuba melarikan anak saya ke seberang jalan sebelum diekori olehnya dan orang ramai.

“Ketika berada di seberang jalan, seorang peniaga roti canai menangkap tangan lelaki terbabit sebelum saya dan orang ramai menyerbu dan menangkapnya.

“Syukur kerana anak saya tidak mengalami kecederaan walaupun terdapat kesan lebam dan luka kecil di tangan dan pi­pi,” katanya.

Saksi kejadian yang menangkap suspek, Syed Mohd. Alwan Syed Othman, 34, berkata, dia pada mulanya turut terkejut selepas melihat seorang lelaki mendukung seorang kanak-kanak perempuan sambil memegang sebilah pisau.

“Saya ketika itu sedang menebar roti canai keluar melalui laluan belakang sebelum menghampiri suspek dan bertindak menangkapnya.

“Ketika itu apa yang saya fikir ialah hendak menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu ke­rana bimbang jika dibiarkan lama, situasi mungkin menjadi sebaliknya dan boleh membahayakan nyawanya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang kini ditahan polis masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang sejak sebulan lalu.

Katanya, akibat tekanan kerja yang dihadapi, suspek telah me­larikan diri daripada majikannya.

“Motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN