HAMPIR sedekad memasuki liga seni, nama Hawa Rizwana kian menyinar dalam apa jua bidang yang diceburi.
Kebijaksanaan merebut setiap peluang dalam karier juga perlu dipuji ketika ada individu lain sukar menempatkan diri dalam dunia hiburan.
Barangkali rezeki memiliki wajah pelanduk dua serupa dengan pengacara Neelofa yang menyebabkan namanya mudah dikenali.
Namun, sejak popular ada sahaja kritikan pedas segelintir pihak yang seakan-akan tidak senang dengan kemaraan bekas pembaca berita Buletin Utama itu.
Memasuki liga selebriti panas, Hawa kini sering dilayangkan komen negatif berhubung fesyen dan penampilan diri yang dikatakan tidak sesuai dengan imej berhijab.
Malah ada yang menuduhnya menjadi mangsa fesyen kerana pernah menampakkan leher dan telinga dalam pemilihan gaya tudung.

Tidak melenting, si cantik kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu menelan segala teguran, selain cuba berubah ke arah lebih baik seiring kematangan usia dan pengalaman.
“Apabila sudah ramai tegur, saya akan ambil peduli sebab saya enggan jadi orang jahat atau individu yang tidak berilmu.
“Apa langkah seterusnya? Saya cuba jadi manusia yang lebih baik dengan lebih menjaga bab pemakaian.
“Sekarang apabila semakin dewasa, insya-Allah saya lebih tegas dalam pemilihan persalinan serta imej diri,” katanya membuka bicara.
Dilabel sebagai mangsa fesyen, penulis cuba mendapatkan jawapan sekiranya pemilik nama lengkap Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, adakah pernah terdetik dalam benak, bagaimanalah pandangan orang jika melihatnya dirinya tidak bertudung.

Nyata, perkara itu bukan sesuatu yang mahu difikirkan. Melencongkan pandangan, Hawa tidak bersetuju dengan sikap setiap ahli masyarakat yang gemar menilai keperibadian wanita tidak bertudung. Baginya, cukup-cukuplah menghakimi seseorang dari luaran sahaja.
“Setiap hari saya berdoa untuk jadi orang lebih baik. Saya mula pakai tudung atas permintaan arwah datuk semasa berusia 19 tahun.
“Saya mahu tegaskan, jangan menghakimi orang berdasarkan luaran kerana kita tidak tahu apa sumbangan atau amalannya dalam diam.
“Saya juga nak luahkan satu perkara, sebenarnya sangat tidak adil menilai orang tidak menutup aurat sebagai jahat,” ujarnya.

Bayangan Neelofa
Soal buruk baik, bertudung atau tidak, Hawa hanya menjadi diri sendiri.
Sejak awal memasuki industri, dia juga sering mendapat jolokan ‘kembar Neelofa’ disebabkan rupa parasnya yang seiras pengacara Next To Neelofa itu.
Sehinggakan segelintir pihak membanding-bandingkan mereka berdua dari setiap sudut, tambahan Hawa kini menggantikan tempat Neelofa dalam MeleTop.
“Perbandingan antara saya dan Neelofa memang ada perkara dianggap sebagai lumrah.
“Saya tidak boleh elak perbandingan itu dari awal masuk industri. Sejak sekolah lagi orang cakap saya iras Neelofa.
“Memang saya rasa seronok sebab Neelofa pula cantiknya macam mana. Sejujurnya saya tidak rimas apabila sering menerima kata-kata sebegitu,” jelas pengacara berusia 28 tahun itu.
Masa berlalu, bermula sebagai penyampai berita, kemudian mengacara, Hawa kini menggilap bakat sebagai pelakon.
Pelakon Raya Sebagai Isteri itu turut teruja apabila bakat seni lakonnya mula disedari banyak pihak.
“Setakat ini, orang mula nampak diri saya sebagai Hawa Rizwana. Saya harap orang lebih perasan kehadiran saya.
“Setiap orang ada pandangan masing-masing. Terserah kepada orang untuk menilai kerana yang penting benda itu tidak menggangu saya pun.
“Saya buat semua ini untuk saya dan orang sekeliling saya,” tuturnya positif.

Cinta aktiviti lasak
Bercakap tentang keperibadian, siapa sangka pemilik wajah ayu itu juga gemarkan aktiviti lasak.
“Baru-baru ini berjaya mendaki puncak Gunung Kinabalu dan buat pertama kali saya sertai larian marathon sejauh 21 kilometer di New Zealand.
“Tahun ini banyak sangat perkara yang tidak dirancang tetapi tidak sangka terjadi. Memang rezeki saya juga,” ujar bekas pengacara Wanita Hari Ini itu.
Memandangkan sudah mendapat lesen lasak daripada ibu bapa, Hawa ingin mencuba pelbagai sukan lain, termasuk menyelam.
“Sukan lasak ini memang sudah jadi minat saya sejak dahulu tetapi membesar sebagai anak perempuan tunggal, mak dan ayah saya lebih berjaga-jaga.
“Sekarang ada juga mak ayah nasihat tetapi tahu saya minat dan mereka memahami walaupun timbul kerisauan,” tutupnya.















