PETALING JAYA – Ibu kepada remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak pada 24 September lalu mendedahkan anaknya lebih suka menyendiri selain tidak ceria seperti sebelum kejadian malang berkenaan.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, beberapa perubahan ketara dilihat berlaku kepada remaja berkenaan sebelum dihantar kembali ke sekolah berkenaan.
“Dia kurang makan, tidak ceria seperti dahulu, saya risau tetapi Alhamdulillah setakat ini masih terkawal. Tak sangka perubahan yang berlaku agar ketara,” katanya di sini semalam.
Malah kata wanita berkenaan, perubahan itu terus menghantui anaknya apabila remaja berkenaan juga lebih suka menyendiri biarpun berada dalam kalangan rakan-rakan di sekolah berasrama tersebut.
“Selasa malam lalu saya telah hantar dia ke sekolah semula, setakat ini dia memaklumkan ada perasaan janggal dengan persekitarannya dan dia beritahu lebih selesa bersendiri dan mengasingkan diri.
“Kita dengar terus rasa risau, tapi dia maklumkan hubungannya dengan kawan-kawan lama dan orang di sekolah semuanya baik-baik sahaja.
“Sebagai ibu, kita takut kalau anak pendam perasaan, dari sudut lain kita tetap percaya dia mampu teruskan perjuangan menuntut ilmu di sana,” ujarnya.
Berita berkaitan: Buli MCKK: Pembuli anak saya hanya dikenakan rotan, kerja amal
Katanya, dalam tempoh empat tahun mendapat pendidikan di sana, ini perubahan paling ketara dilihat pada anaknya.
Mengenai dakwaan anaknya, wanita itu memberitahu, anaknya terkilan dengan dakwaan yang tersebar luas, namun memilih untuk mendiamkan diri dan yakin perkara sebenar akan jelas kelak.
Terdahulu, tular kejadian buli didedahkan keluarga mangsa menerusi media sosial selepas remaja yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital.














