fbpx
GAMBAR HIASAN

Pembuli terus berkuasa, mangsa angkat kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI dahulu hingga sekarang, isu buli di sekolah masih lagi tiada kesudahan tidak kira sama ada ia berlaku di sekolah harian biasa mahupun asrama penuh.

Boleh dikatakan setiap tahun, isu tersebut hangat diperkatakan di media sosial, malah terus mendapat liputan para media dari semasa ke semasa.

Terbaharu, beberapa pelajar tingkatan empat dan lima dari sebuah sekolah terkemukan di utara tanah air terlibat dengan kes buli sehingga mangsa dirawat di hospital akibat me­ngalami kecederaan fizikal.

Menurut ibu kepada seorang mangsa, pihak sekolah telah mengambil tindakan yang ringan terhadap pembuli dengan meminta mereka melakukan kerja amal selain dikenakan denda rotan sebagai pengajaran.

Penulis juga merasakan hukuman itu tidak cukup setimpal apabila bentuk denda tersebut telah wujud sejak tahun 80-an lagi, namun sehingga kini ia tidak meninggalkan kesan kepada ge­nerasi seterusnya apabila terbukti kes buli terus meningkat.

Mengikut statistik Kementerian Pendidikan (KPM), jumlah kes buli di sekolah terus melonjak pada tahun ini berbanding dua tahun lalu dengan 4,994 kes direkodkan setakat Oktober.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM bagi tempoh tiga tahun, 326 kes direkodkan pada 2021, manakala 3,887 kes pada 2022 dan bagi 2023 sehingga bulan lalu sebanyak 4,994 kes direkodkan.

Cerita daripada pengalaman penulis sendiri, selama 15 tahun bergelar pelajar sekolah sejak tadika, penulis sudah melihat lebih 10 kes melibatkan kejadian buli antara senior dan junior.

Boleh dikatakan, setiap kali ia berlaku. Mangsa sendiri akhirnya terpaksa ‘angkat kaki’ bertukar ke sekolah lain agar tidak terus dibuli.

Sedangkan, pembuli terus lagak kuat dan senior di hadapan pelajar junior lain, walaupun sudah dikenakan tindakan, namun ia hanya bertahan untuk satu ke dua minggu, kemudian buli lagi.

Pakar Psikologi Kaunseling, Profesor Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin berkata, dalam aspek psikologi, terdapat dua pe­ngaruh yang menyebabkan kes buli di sekolah menjadi teruk.

“Dalam psikologi kita berpegang kepada dua pengaruh, satu mungkin ada unsur keturunan, satu lagi adalah bagaimana sesuatu persekitaran itu mempengaruhi tindakan.

“Kajian ada mengatakan, kadangkala ayah dia pembuli, abang dia pun pembuli dan empunya diri akan jadi pembuli. Kadangkala dia cari pasangan pun ada unsur-unsur pembuli, itu dipanggil keturunan pembuli,” katanya kepada Kosmo!.

Tambah beliau, terdapat juga kemungkinan kes buli berlaku disebabkan tradisi keturunan dalam sesebuah sekolah.

“Kalau kita bercakap soal dokumentasi buli di sekolah, dah cantik sangat, banyak modul telah dibangunkan KPM. Tetapi pelaksanaannya perlu diambil kira siapa pucuk pimpinannya, bagaimana caranya mengatasi.

“Maaf la nak cakap, guru besarkah, pengetua, kalau ada kes-kes buli di sekolah, asrama, kadangkala tidak ditangani dengan betul. Tak ikut garis panduan betul. Mereka cuba pendamkan, sebab nak elak ‘rating’ sekolah jatuh,” jelasnya.

Sehubungan itu, penulis me­rasakan perlu ada pemantauan berterusan oleh pihak KPM ke atas sekolah-sekolah di negara ini, disebabkan masih ramai pucuk pimpinan sekolah gemar berdiam diri takut nama sekolah ‘busuk’ daripada bersuara keluarkan pembuli segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN