TEL AVIV – Israel bersetuju menangguhkan serangan selama empat jam setiap hari di utara Semenanjung Gaza bagi tujuan kemanusiaan, kata White House seperti laporan portal berita The New Arab kelmarin.
Perkembangan tersebut bercanggah dengan laporan sebelum ini bahawa barisan perunding hampir mencapai persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata kemanusiaan selama tiga hari di Gaza sebagai pertukaran kepada pembebasan kira-kira 12 tebusan yang ditahan kumpulan Hamas.
Jeda kemanusiaan itu dimaklumkan oleh dua pegawai Mesir, seorang daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seorang diplomat Barat yang bercakap mengenainya tetapi enggan nama mereka disiarkan. Tidak jelas sama ada jeda kemanusiaan itu mempunyai kaitan dengan rundingan gencatan senjata yang masih berlangsung.
Gencatan senjata itu sekiranya berjaya, membolehkan lebih banyak bantuan termasuk bekalan bahan api dibawa masuk ke Gaza bagi mengurangkan penderitaan 2.3 juta rakyat Palestin yang terperangkap.
Rudingan gencatan senjata dilaporkan sedang diuruskan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS). Seorang pegawai Mesir berkata, butiran perjanjian itu dibincangkan minggu ini di Kaherah bersama ketua Agen Perisikan Pusat (CIA) dan delegasi Israel.
Di bawah perjanjian tersebut, Hamas akan membebaskan 12 tebusan awam, kebanyakan mereka pemegang pasport asing dan memberikan senarai lengkap tebusan kepada orang tengah. Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah pula akan dibenarkan melawat mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak sebarang gencatan senjata lebih meluas lain sebagai ‘menyerah kalah’ kepada Hamas.
“Gencatan senjata dengan Hamas bermakna menyerah kepada Hamas, menyerah kepada keganasan,” Netanyahu memberitahu saluran berita Fox News.
Presiden AS, Joe Biden menyambut baik jeda kemanusiaan itu yang secara rasmi, mengaturkan persetujuan di mana puluhan ribu penduduk Palestin dapat melarikan diri daripada kemusnahan di utara Gaza. Beliau bagaimanapun berkata, tiada kemungkinan gencatan senjata diadakan.
Netanyahu berkata, tentera Israel menampilkan prestasi amat cemerlang dalam perang yang dilancarkan selepas pejuang-pejuang Hamas melintasi sempadan pada 7 Oktober lalu dan membunuh 1,400 orang, kebanyakan mereka penduduk awam dan menawan kira-kira 240 tebusan.
Berjanji untuk memusnahkan Hamas, Israel melancarkan serangan balas dari darat dan udara yang menyaksikan lebih 11,000 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakan mereka orang awam dan ramai kanak-kanak.
Menurut Netanyahu, Israel tiada rancangan untuk menakluki semula Semenanjung Gaza.
“Kami tidak mahu mentadbir Gaza. Kami tidak mahu menjajahnya tetapi kami mahu memberi masa depan lebih baik kepada wilayah berkenaan dan kami sendiri,” katanya kepada Fox News.
Terdahulu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab terhadap pelarian Palestin, UNRWA berkata, kira-kira 70,000 orang telah melakukan perjalanan ke selatan Gaza sejak 4 November lalu dengan kebanyakan mereka berjalan kaki.
“Hampir 1.6 juta orang menjadi pelarian di Semenanjug Gaza sejak 7 Oktober lalu atau lebih separuh daripada populasi wilayah itu,” kata UNRWA.
Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan masih terdapat ratusan ribu orang awam yang kekal berada di zon pertempuran paling sengit di utara Gaza.
Kumpulan-kumpulan bantuan merayu supaya gencatan senjata diadakan dan memberi amaran bencana kemanusiaan berlaku di Gaza tanpa bekalan makanan, air dan ubat. – AGENSI














