ISU kos sara hidup kini memang memeningkan kepala. Lebih-lebih lagi buat mereka yang berkeluarga. Tinggal pula di bandar-bandar besar. Dilema.
Dalam tulisan terdahulu penulis pernah membangkitkan tahap kemandirian rakyat Malaysia ini memang tinggi. Semua sudah sedia maklum, kehidupan hari ini menuntut masa, wang dan keringat untuk membesarkan anak-anak.
Walaupun kedua-dua ibu bapa bekerja pun ia tetap hanya cukup-cukup makan bagi seluruh isi rumah. Satu punca gaji bukan lagi ideal untuk menyara keluarga.
Lihat sahaja sekeliling kita. Mesti ada rakan atau ahli keluarga yang sanggup berhenti kerja untuk memberi perhatian menjaga anak-anak.
Jika si isteri berhenti kerja dan menjadi suri rumah, sang suami pula akan melakukan dua pekerjaan. Habis kerja hakiki, mereka menukar ‘uniform’ menjadi penghantar makanan, menghantar penumpang tanpa sedikit pun mengadu penat.
Keputusan ini dibuat mereka bersebab. Jika bekerja pun, gaji diterima tetap tidak bersisa selepas membayar komitmen bulanan anak-anak. Kos pengasuh, pengangkutan ke sekolah, taska, transit dan sebagainya.
Ketika ini dianggarkan terdapat tiga juta suri rumah berusia 55 tahun ke bawah dalam negara.
Kelmarin, akhbar ini melalui laporan muka depannya melaporkan dilema dihadapi ibu bapa dalam mencari nafkah. Anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.
Untuk golongan ibu bapa yang mampu, mereka memasang televisyen litar tertutup (CCTV) untuk memantau aktiviti kanak-kanak di rumah melalui telefon bimbit.
Pelbagai kaedah digunakan, dalam usaha mengurangkan kos membesarkan anak. Pada mulanya menganggap kaedah ini sebagai penyelesaian jangka pendek, namun ada yang tidak dapat ‘bangkit’ dan meneruskan norma baharu ini.
Harus diingat bahawa keluarga yang sejahtera adalah keluarga yang memiliki kehidupan serta ekonomi yang baik, tanpa membebani orang lain.
Tidaklah pula sesebuah keluarga itu sejahtera jika seharian resah dan gelisah memikirkan bagaimana untuk memenuhi keperluan meneruskan kehidupan.
Kadang-kadang penulis terfikir, tidak banyak beza dengan menguruskan pasukan bola sepak di Liga Malaysia (Liga M). Hutang bertimbun, gaji pemain tidak berbayar berbulan-bulan tetapi ‘hidup’ pasukan tetap kena diteruskan.
Seolah-olah kita menghadapi kehidupan/perlawanan dengan ketinggalan jaringan 3-0. Tidak semua boleh comeback seperti Liverpool. -KOSMO! ONLINE














