KEKAL istiqamah dalam setiap perkara yang diwajibkan Tuhan bukan satu hal mudah buat segelintir individu.
Jika melihat dalam kalangan selebriti tanah air, bertudung adalah salah satu hal memerlukan tahap istiqamah yang tinggi apatah lagi dikelilingi dengan 1,001 dugaan sebagai anak seni.
Jika hati tak cukup kental, pasti akan menambahkan lagi kisah artis tudung melayang atau akhlak tidak mencerminkan penampilan.
Berhijab sepenuhnya sejak sebelum Ramadan lalu, Julia Farhana mengakui merasai detik imannya berbolak-balik atau meronta-ronta melawan penghijrahannya.
“Percayalah, fasa ini sangat sukar,” katanya memulakan bicara mengenai penghijrahannya baru-baru ini.
Melanjutkan perbualan, pemilik nama penuh Julia Farhana Marin itu berkata, memakai tudung bukan sekadar menutup kepala tetapi merangkumi semua aspek sebagai seorang muslimah.
Hijab
Akhlak, menutup aurat dengan sempurna dan menjaga pertuturan, itu antara aspek yang harus dititikberatkan selepas berhijab.
“Sejak berhijab, saya mula menyedari bahawa bertudung bukan hanya tentang ubah cara pemakaian.
“Perubahan itu harus mengubah seluruh gaya hidup seperti jaga solat, cara percakapan dan pergaulan.

Banyak aspek yang terkait dan kalau lompong salah-satunya, orang akan mula pandang serong,” kata pelakon berusia 28 tahun itu.
Tambahnya yang berdarah campuran Melayu-Itali, sokongan suami tercinta, Dr. Che Hafiz banyak memberinya semangat agar hati terus kekal istiqamah dengan imej muslimah.
“Sejujurnya, perjalanan saya sejak memakai tudung sangat mencabar.
“Kalau tiada sokongan moral daripada suami, tak tahu apa yang jadi kepada saya sebab ketika ini dia adalah penyokong paling kuat selain selalu ingatkan tentang berkat kesabaran.
“Kekal istiqamah sangat susah. Saya pakai tudung seminggu sebelum Ramadan. Ketika itu masih dalam fasa iman masih kuat tetapi selepas itu terasa sukarnya ujian hijrah ini. Iman turun naik dan memang ada juga rasa rindu nak ‘buat’ rambut,” kongsinya.
Sambung Julia, selain sokongan tidak berbelah bahagi, suami turut menasihatinya agar mendekatkan diri dengan Tuhan dan mempelajari agama dengan lebih mendalam.
“Alhamdulillah dikurniakan seorang suami yang banyak mengajar dan membimbing saya ke arah kebaikan.
“Dia juga pesan, saya sudah berjalan sejauh ini dan jangan patah balik. Selalu di rumah dia akan ajak berzikir dan baca al-Quran bersama,” katanya lagi.
Hukum
Terbuka berkongsi pandangan mengenai beberapa rakan selebriti yang memilih untuk tinggalkan ‘dunia hijab’, Julia meminta orang ramai agar tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap perjalanan hijrah artis yang juga seorang manusia biasa.
“Kita jangan sesekali cuba buat kerja Tuhan dengan menghakimi perjalanan hidup seseorang.
“Sebaik-baiknya kita titipkan doa kepada semua yang sedang berjuang dan berperang dengan diri sendiri untuk menjadi insan lebih sempurna.
“Jangan disebabkan memegang gelaran selebriti, mereka perlu tampil sentiasa sempurna di mata orang ramai.
Sebenarnya bukan artis sahaja melalui ujian ini, ramai lagi wanita berhijab di luar sana sedang berjuang,” ujarnya.

Bintang filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu menambah, jangan sesekali mengecam dan melontarkan kata-kata negatif terhadap wanita beragama Islam yang memilih untuk tidak lagi berhijab.
“Kita tidak tahu apa yang mereka lalui, ‘struggle’ dan semuanya. Nampak macam mudah tetapi dugaan bertimpa-timpa.
“Mungkin sekarang tewas tetapi pada masa depan mereka jadi lebih baik daripada kita. Kita tidak boleh terlepas daripada dihakimi tetapi insya-Allah Tuhan berikan kekuatan untuk semua,” jelasnya.
Watak
Beralih soal karier, wanita berusia 28 tahun itu menegaskan masih belum berhenti berlakon seperti yang didakwa sebelum ini.
Jelasnya, dia banyak menerima tawaran berlakon untuk saluran penstriman atau penyiar Over-The-Top (OTT) selepas berhijab sejak tujuh bulan lalu.
“Saya masih dan ingin terus berlakon tetapi sejak akhir-akhir ini terpaksa menolak beberapa tawaran kerana watak yang diberikan tidak sesuai dengan penampilan wanita berhijab.
“Antara watak yang ditawarkan seperti seorang yang banyak bersosial dan babak bersentuhan dengan pelakon lelaki.
“Babak sebegitu tidak sesuai dengan imej bertudung dan juga isteri orang, jadi saya memilih menanti watak yang benar-benar sesuai,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada pernah rasa menyesal kerana perlu menolak tawaran tersebut, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu menafikan dakwaan tersebut.
“Tidak pernah terbit rasa kecewa apatah lagi menyesal kerana menolak tawaran lakonan hanya kerana kekangan imej bertudung.
“Saya memakai tudung kerana Allah SWT dan sentiasa yakin dengan rezeki daripada-Nya,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.














