KETIKA segelintir anak seni ‘kecut perut’ untuk bersuara tentang kezaliman di bumi Gaza, Palestin, berbeza pula pendekatan diambil sosok bernama Daiyan Trisha.
Dia berani dan lantang secara terang-terangan menunjukkan solidariti, tiada sekelumit rasa gentar dalam dirinya untuk memperjuangkan hak golongan tertindas yang berisiko ‘memakan’ kerjaya seni dan tugas sebagai duta jenama popular antarabangsa.
Baginya, hanya sokongan dan doa yang mampu untuk diberikan buat rakyat Palestin yang kini bertarung nyawa untuk terus hidup.
Melaungkan solidariti secara terbuka dalam media sosial juga bukan satu keputusan yang mudah untuk diambil memandangkan dirinya terikat kontrak dengan pelbagai jenama antarabangsa.
Namun, tindakannya itu tetap diteruskan kerana enggan melawan prinsip dirinya iaitu memperjuangkan hak masyarakat Muslim dan agama Islam.

Berani kerana agama
“Pada awalnya memang sukar untuk melakukannya sebab seperti yang semua tahu, saya banyak terikat dan bekerja dengan jenama antarabangsa.
“Bukan kekuatan sebenarnya tetapi lebih kepada prinsip iaitu bersuara bagi mereka yang seagama dengan saya iaitu masyarakat Islam.
“Saya rasa apa pun terjadi, hati saya ada pada Allah dan Dia yang menggerakkan perkara itu walaupun ada yang mempertikai saya tak bertudung dan sebagainya, jiwa saya tetap utuh pada agama,” katanya kepada Pose.
Kongsinya, kekuatan yang dimilikinya hari ini juga terbentuk selepas beberapa kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah sebelum ini.
Pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu sentiasa yakin bahawa rezeki yang dimilikinya hari ini daripada Allah, sekali gus menguatkan lagi semangat untuk terus bersuara perihal Palestin dalam media sosial.
“Ibadah umrah yang banyak mengajar tentang agama dan semangat kerohanian.
“Mungkin sejak detik itu, saya meraih banyak kekuatan sehingga hari ini bagi membantu golongan Islam yang ditindas seperti di Palestin khususnya.
“Kekuatan itu yang membawa kepada keputusan (lantang bersolidariti) tersebut.
“Saya percaya semua rezeki datang daripada Allah. Saya genggam erat prinsip itu sehingga hari ini.
“Jadi tidak perlu takut kehilangan sebab Dia sudah aturkan rezeki untuk hamba-Nya,” tutur pelantun lagu Penat itu.
Tidak menafikan bagai terhimpit saat mahu bersuara mengenai isu Palestin, Daiyan bagaimanapun bersyukur kerana pihak pengurusan memahami pendiriannya apabila berkaitan isu melibatkan hak asasi manusia.
“Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan memberitahu saya tidak boleh berdiam diri lagi serta perlu bersuara berkaitan isu kemanusiaan dan industri seni.
“Saya akan gunakan platform dimiliki untuk menyuarakan pendapat.
“Apabila tidak dibenarkan melakukan hal sebegitu sebab terikat dengan beberapa jenama, rasa sangat tersepit tetapi nasib baik pihak pengurusan faham,” ujarnya.
Popular menerusi drama Projek: Anchor SPM, dia berkata, kelantangannya dalam media sosial mengecam kekejaman Israel tidak membawa kepada sebarang pembatalan kontrak bersama jenama popular antarabangsa.
“Sebelum berkongsi pendapat dan bersuara dalam media sosial, saya sudah maklumkan kepada jenama-jenama berkaitan mengenai pendirian saya berhubung isu yang sedang berlaku.

Tiada kontrak dibatalkan
“Alhamdulillah setakat ini tiada lagi yang batalkan kerjasama tetapi tidak tahu apa akan jadi pada masa depan.
“Harapnya tiada yang nak batalkan kontrak sebab saya hanya jalankan tugas seorang manusia yang menolak sebarang kekejaman terhadap golongan tidak berdosa terutama mereka yang beragama Islam,” jelasnya.
Memberi pandangan mengenai masyarakat memandang sinis sehingga wujud ‘cancel culture’ atau budaya boikot terhadap golongan selebriti yang tidak lantang bersuara mengenai isu Palestin, wanita berusia 30 tahun itu mempunyai pendapat tersendiri.
Tegasnya, budaya tersebut tidak sepatutnya dipraktikkan kerana setiap individu mempunyai cara sendiri dalam mempamerkan sokongan terhadap sebarang isu terutama konflik Palestin.
“Saya tak setuju apabila masyarakat mengecam segelintir selebriti yang tidak bersuara mengenai isu Palestin atau kemanusiaan.
“Saya tidak rasa bersuara dalam media sosial bagi menunjukkan solidariti adalah perkara wajib yang perlu dilakukan oleh mana-mana selebriti atau golongan berpengaruh.
“Mungkin mereka ada cara tersendiri untuk menzahirkan sokongan,” katanya lagi.
Tidak perlu menambah kebencian terhadap pihak lain dan cukup pada negara kejam Israel sahaja, itu yang berulang-kali ditegaskan Daiyan.
“Kadang-kadang ada yang tidak ‘loud’, tetapi dia ada cara lain untuk beri sokongan seperti menyalurkan dana dalam bentuk wang ringgit. Bukan semua kebaikan perlu dipaparkan dalam media sosial.
“Jadi tidak perlu sebarkan kebencian dan kecaman terhadap mereka yang tidak lantang bersuara tentang hal-hal sebegini. Hormat prinsip mereka.
“Tidak semestinya mereka tidak bersuara, mereka tidak pro-Palestin. Jangan sebab isu lain, umat Islam di sini pula berpecah-belah,” tuturnya lagi.

Wang haram, ‘sugar daddy’
Membawa topik perbualan kepada bab lain, muncul pula cerita sensasi yang meledakkan nama Daiyan iaitu aktiviti pengubahan wang haram
Akui Daiyan, dia cukup terluka dengan fitnah tersebut yang memang tiada hujung pangkal.
“Pasal rumah atau kekayaan, hakikatnya ramai tahu betapa kuatnya saya bekerja untuk memilikinya.
“Mereka boleh hasilkan pelbagai bentuk pemikiran mengenai hal tersebut sebab semua bebas membuat andaian.
“Hakikatnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa semua yang saya milik adalah hasil titik peluh saya selama ini, bekerja keras dengan palbagai jenama termasuk lakonan dan nyanyian,” getusnya.
Selain isu pengubahan wang haram, kehidupan mewahnya juga sering kali dipandang negatif sehingga didakwa ‘dibela’ golongan kenamaan.
“Tidak cukup dengan fitnah saya terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram, timbul pula fitnah saya dibela ‘sugar daddy’.
“Saya rasa tidak perlu untuk bela diri, sudah ada pihak yang tepiskan fitnah itu (peminat),” ujarnya menoktah bicara.















