fbpx
MENGAKUI sejak kecil hidupnya sentiasa dirundung duka, pempengaruh popular Syamimia yang mencetus inspirasi ramai dek dekorasi rumahnya yang kemas, cantik dan tampak mewah biarpun hanya tinggal di sebuah rumah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini merasakan kedukaan terus menyelubungi dirinya apabila sering berendam air mata disebabkan perlakuan netizen yang sentiasa mahu menyerang dan mencari salahnya dalam apa jua hal. - Foto FARIZWAN HASBULLAH

Syamimia berendam air mata redahi ‘bedilan’ kebencian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN wanita muda berstatus ibu berusia 27 tahun itu ke pejabat Media Mulia di Petaling Jaya, Selangor petang Isnin lalu diserikan dengan senyuman di bibirnya.

Bertemankan suami dan anak lelaki berusia empat tahun di sisi, kedatangan pempengaruh dikenali dengan nama Nursyamimia di media sosial itu adalah bagi memenuhi jemputan penulis sejak bulan lalu untuk menemu bual dan berkongsi kisah perjalanan hidupnya.

Meskipun senyuman manis tidak lekang terukir, namun di sebalik senyuman itu, ada tersimpan sedikit perasaan yang cuba disorokkan, namun tidak dapat ditahan lama.

Syamimia yang dikenali netizen dengan dekorasi rumahnya yang kelihatan kemas, cantik dan mewah biarpun hanya tinggal di rumah pangsa, mengakui dia hampir sahaja membatalkan sesi temu bual bersama Aura saat akhir kerana emosinya yang terganggu sejak pagi hari.

Ditanya siapa gerangan yang membuatkan dirinya beremosi dan menangis tidak henti, Syamimia atau mesra disapa Mimi tanpa berselindung mengakui netizen merupakan punca semuanya.

“Jujur saya katakan saya hampir nak batalkan pertemuan dan janji kita hari ini, tetapi suami pujuk dan saya tenangkan hati untuk terus melangkah kaki sampai ke sini.

“Saya sejak pagi lagi menangis kerana teruk ‘dibantai’ netizen yang tidak habis-habis mencari kesalahan dan menghentam saya kerana dikatakan tidak menyokong Palestin.

“Mereka mempersoal tindakan saya yang tidak memuat naik atau berkongsi berita mahupun tanda sokongan terhadap Palestin yang ditindas tanpa henti oleh rejim Zionis,” ujarnya.

Menurutnya, tidak tahan terus menerus ‘dibedil’ tanpa peluru, dia bertindak memuat naik sebuah video berdurasi empat minit sekali gus menerangkan pendiriannya terhadap konflik antarabangsa itu.

Pun begitu katanya, penerangan tersebut turut dikatakan netizen tidak menjawab soalan dan seakan-akan dirinya tidak sedar mengenai konflik yang berlaku sedangkan statusnya bergelar seorang pempengaruh terkenal.

Syamimia mengakui sering kali menangis bukan saja disebabkan isu Palestin itu, tetapi selepas mengecap populariti di media sosial.

Akuinya, sejak menuai populariti dan dikenali selepas video aksinya mendekorasi kediaman dalam media sosial umumnya TikTok tular, sejak itu jugalah ada saja berita sedih yang menghurungnya.

“Saya pun tidak tahu kenapa sejak kecil lagi saya sentiasa dirundung duka dan perkara-perkara menyedihkan.

“Ingatkan sudah berlalu, tetapi sampai ke hari ini tetap juga sama. Bukan hendak menyangkal apatah menyalahkan takdir, tetapi inilah nasib yang terpaksa saya telan,” katanya.

Syamimia
bersama suami dan anaknya dalam sesi fotografi bersama Aura di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ujar bekas penjawat awam yang pernah bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) selama tiga tahun itu, apa sahaja yang dilakukan pasti ada sahaja kesalahan di mata netizen.

Sebagai contoh, katanya, ketika dia membuat live (siaran langsung) di TikTok, walaupun jumlah tontonan melebihi 10,000, tetapi 60 peratus daripadanya hanya mahu mencari kesalahan saya.

“Ini apa yang tidak pernah saya kongsikan di mana-mana platform. Mungkin ramai tengok saya ini soft (lembut), ayu, baik dan seolah-olah jarang untuk marah.

“Tiap kali saya live, ada sahaja yang cuba memancing amarah selain menguji kesabaran saya. Macam-macam mereka katakan dan kadangkala saya terpaksa abaikan untuk jaga perasaan dan mental.

“Saya juga manusia biasa yang ada perasaan dan hati. Saya perasan mereka mula ‘menembak’ saya tidak henti-henti selepas saya mendedahkan yang saya tinggal di rumah kediaman jenis Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Sejak itu, nama baik keluarga saya turut dijadikan modal untuk mereka serang saya. Ada yang kata saya ini anak jalang, tak kurang juga caci maki kerana saya tidak menutup aurat dan pakai tudung. Ada juga kata saya ini berlagak gaya T20 tapi duduk rumah flat,” ungkapnya sayu.

Kongsi Syamimi yang kini memiliki lebih 900,000 pengikut di TikTok, dia bukan seorang yang tidak boleh menerima teguran, tetapi janganlah menegur atau mencari salah sampai hilang adab.

“Saya lihat pempengaruh di luar sana kurang tekankan adab sebab benda ini tak perlu diajar dan boleh disemai sendiri dalam diri.

“Pesan saya cuma satu, tolonglah jadi manusia yang beradab. Saya tidak minta anda untuk jadi baik, lembut dan hormat saya, tetapi cukuplah jadi manusia beradab kerana adab itu melambangkan peribadi kita,” katanya lagi.

Kata Syamimia, dia berjinak-jinak menyediakan content media sosial semasa masih bekerja di JKR dan berhenti setelah merasakan boleh jana pendapatan menerusi media sosial.

Dia juga sebenarnya bermula dengan content masakan sebelum orang ramai tertarik dengan dekorasi rumahnya.

Ditanya perkembangan hidupnya kini, dia menyatakan bahagia dan bersyukur dengan apa yang diberi Ilahi.

Katanya, dia akan meneruskan kerja-kerja mendekorasi kediamannya dan berkongsi kepada pengikutnya di media sosial untuk dijadikan sumber inspirasi.

“Saya gembira dengan apa yang saya dan suami lakukan ketika ini. Alhamdulillah rezeki saya juga dilorongkan ke sini (pempengaruh).

“Selain buat video dekorasi rumah dan masakan, tugas lain saya adalah menjaga anak lelaki saya, Malik lebih-lebih lagi dia akan mula bersekolah tahun hadapan.

“Ada juga yang lamar nak jadikan saya consultant (perunding) rekaan dalaman rumah mereka, tetapi saya belum boleh lakukan sampai ke tahap itu. Jika ada rezeki dan bersedia, saya akan lakukan.

“Apapun saya janji, apa jua saya lakukan dan bidang yang dicuba selepas ini, saya tetap akan muat naik video dekorasi dan masakan kerana dari situlah saya dikenali,” ujarnya yang juga merancang miliki bisnes makanan sendiri.

Kongsi Syamimia, kediaman PPR yang didiami keluarga kecilnya itu merupakan harta paling berharga arwah ibunya buat dirinya.

“Menjawab soalan adakah saya akan berpindah satu hari nanti, jika ada rezeki lebih dan untuk keselesaan, ya saya akan berpindah, tetapi saya tidak akan sesekali sewa atau jualkan rumah tersebut kepada orang lain melainkan satu-satunya adik perempuan saya.

“Rumah tersebut terlalu berharga dan ada nilai sentimental tersendiri. Saya cantikkan dan deko rumah itu juga disebabkan mahu bahagiakan arwah ibu,” katanya yang enggan mendedahkan lokasi rumah pangsa didiaminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN