fbpx

Komposer, penyanyi A. Ali meninggal dunia dalam tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham A. Ali meninggal dunia Subuh tadi.

PETALING JAYA – Komposer dan penyanyi terkenal sekitar era 1980-an, Hamdan Atan atau lebih dikenali sebagai A. Ali, 71, disahkan meninggal dunia selepas Subuh pagi tadi.

Menurut anaknya, Nur Huda Hamdan, bapanya yang meninggal dunia ketika sedang tidur tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan berada dalam keadaan sihat.

“Malam tadi arwah sempat berbual dengan saya dan bermain dengan cucu di rumah.

“Arwah tiada menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik dan kelihatan sihat seperti biasa,” katanya.

Menurut Nur Huda, ibunya, Latifah Khamis, 60, mengejutkan arwah sekitar pukul 5 pagi untuk membantunya menyediakan air minuman kerana dia berasa lapar.

Ujarnya, sudah menjadi rutin untuk Allahyarham membuatkan minuman untuk isterinya yang tidak sihat kerana menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Selepas arwah buatkan air, arwah termenung dekat tingkap rumah dan ditegur oleh ibu namun arwah memberitahu dia cuma melihat lori sampah datang sebelum tidur semula selepas menunaikan solat Subuh.

“Sekitar pukul 7 pagi, ibu melihat arwah masih tidur membelakanginya dan tidak terfikir apa-apa sebelum ibu memanggil saya sekitar pukul 8.30 pagi untuk melihat keadaan bapa yang sudah tidak bergerak dan badannya sejuk,” ujarnya.

Nur Huda memberitahu, Allahyarham dibawa keluarganya ke Hospital Kajang dan dikejarkan ke bahagian kecemasan sebelum doktor mengesahkannya telah meninggal dunia.

Allahyarham pernah menganggotai kumpulan muzik Kembara yang diasaskan oleh penyanyi tersohor, Datuk M. Nasir sekitar awal tahun 1980-an di Singapura dengan menyampaikan lagu-lagu puisi dan lagu ‘rakyat’.

Arwah yang meninggalkan seorang balu serta sembilan anak dan 10 cucu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang selepas waktu Zuhur.

Semalam, komposer irama dangdut popular era 1990-an, Ruslan Mamat, 59, turut dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di Hospital Serdang akibat masalah jantung.

Isterinya, Rahmah Ismail memberitahu, Allahyarham turut mengalami masalah paru-paru berair dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI