PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengucapkan penghargaan berikutan pengumuman Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penambahan sembilan buah kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas kepada agensi berkenaan adalah tepat pada masanya.
Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ia kerana keupayaan aset APMM yang ada ketika ini tidak mencukupi untuk berdepan dengan tugas yang makin mencabar termasuk menjaga keselamatan di kawasan sempadan perairan negara.
“Aset seperti bot dan kapal sedia ada telah usang dan ianya sukar diselenggarakan dengan baik yang boleh mengakibatkan kerosakan lebih besar selain bakal mengundang risiko terhadap keselamatan pegawai serta anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, pengumuman itu juga adalah hasil usaha berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberikan justifikasi yang kukuh tentang keperluan mendesak agensi ini kepada pihak kerajaan seterusnya mengumumkan perancangan perolehan berkenaan pada hari ini.
Beliau juga berharap melalui peruntukan Belanjawan Madani bertemakan ‘Reformasi
Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ ini dapat melengkapi keperluan agensi secara berfasa seterusnya menambahkan kepercayaan masyarakat tentang keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE