PETALING JAYA – Masalah jerebu yang melanda negara ketika ini bukanlah satu fenomena baharu, namun sehingga kini tiada langkah penyelesaian konkrit dibuat bagi menangani masalah tersebut yang dianggap sebagai ‘peristiwa tahunan’.
Masalah pencemaran udara di negara ini dikatakan bermula sejak tahun 1960 sehingga kerajaan Malaysia pernah melaksanakan darurat akibat krisis tersebut kira-kira 26 tahun lalu.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, biarpun lebih setengah abad diselubungi masalah jerebu, tiada sebarang penyelesaian tuntas dibuat mengenainya untuk menyelamatkan negara dan rakyat.
Beliau turut mempersoalkan peranan pihak berwajib terhadap isu perubahan iklim, pelepasan gas rumah hijau dan karbon yang pernah dibincangkan dengan hebat hingga ke peringkat antarabangsa.
“Kalau sudah lebih setengah abad kita masih bercakap mengenai perkara sama bermakna seperti angin lalu, tiada penyelesaian. Di mana kajian-kajian yang dibuat sebelum ini?
“Apa kesannya terhadap kesihatan manusia setelah berpuluh tahun ‘peristiwa tahunan’ jerebu dan pencemaran udara mengancam keselamatan penduduk.
“Ditambah pula peningkatan kes jangkitan paru paru, asma, sakit mata dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ahmad yang juga Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia memberitahu, Malaysia sepatutnya sudah memiliki teknologi yang boleh membantu dalam menangani masalah pembakaran terbuka, peningkatan pelepasan asap kilang dan kenderaan serta beberapa punyumbang lain kepada jerebu.
Jelasnya, adalah penting untuk negara memfokuskan mengenai tindakan mengawal sumber jerebu dengan lebih berkesan.
Justeru beliau menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menyelamatkan negara.
“Guna teknologi untuk mengesan sumber jerebu dan tahap bahaya melalui ujian makmal. Jerebu tidak boleh dihalang sebagai udara rentas sempadan.
“Jika negara jiran jadi penyumbang kepada pencemaran udara di Malaysia, kita patut bantu dengan menggunakan teknologi berkesan. Jika tidak, sampai bila-bila penduduk negara ini perlu jadi mangsa?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk institusi kesihatan negara Asia lain untuk memberikan kenyataan dan perkembangan jerebu di negara masing-masing secara jujur.
“Dengan teknologi semasa dan kemahiran yang ada, sudah tentu mereka dapat jawab soalan dengan tepat.
“Malah, pihak Jabatan Alam Sekitar boleh beri perincian tepat mengenai saiz partikel ikut kawasan dan tahap bahaya yang mungkin dihadapi oleh penduduk di kawasan terbabit.
“Pengalaman berpuluh tahun, jadi perlu ada peningkatan dalam memaklumkan tahap bahaya jerebu di sesuatu kawasan. Untuk kita ramal bila jerebu akan pulih adalah sukar, yang perlu kita buat ambil langkah elak jerebu daripada terus berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Kualiti Udara Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Talib Latif meramalkan jerebu rentas sempadan dijangka berlanjutan sehingga pertengahan bulan ini ekoran perubahan angin akibat perubahan monsun.
Menurut beliau, masalah pencemaran udara tersebut berlaku disebabkan jumlah zarah yang tinggi di udara.
“Pada masa ini, proses pembakaran terutama di kawasan tertentu seperti Sumatera dan Kalimantan adalah antara punca utama negara dilanda jerebu. Jerebu juga boleh berlaku disebabkan faktor meteorologi seperti arah angin dan paras humiditi yang tinggi,” ujarnya.
Malaysia mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kategori tidak sihat terburuk setakat ini di 16 lokasi kelmarin. Bacaan tertinggi direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur dengan bacaan 164, diikuti Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan yang masing-masing 163 dan 158.














