JOHOR BAHRU – Satu kluster kes Covid-19 baharu telah dikenal pasti di negeri ini iaitu Kluster Parit Kassan melibatkan daerah Tangkak di Johor dan Melaka Tengah, di Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, pertambahan itu menjadikan keseluruhan enam kluster aktif di negeri ini.
Menurutnya, kluster aktif lain termasuklah Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang.
“Kes indeks bagi Kluster Parit Kassan ini dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 13 November lalu dan pesakit telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.
“Saringan kontak rapat yang dibuat telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif Covid-19. Sehingga semalam, 105 individu telah disaring dimana 11 kes dikesan positif melibatkan satu kes baru, 70 dikesan negatif sementara 24 yang lain masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, tiga lagi kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri ini melibatkan dua daripada kluster sedia ada dan satu daripada kluster baharu.
“Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini sebanyak 1,019 kes dengan 21 kematian, dimana sejumlah 913 kes atau 89.6 peratus dilaporkan telah pulih.
“Sementara itu, peratusan pematuhan terhadap SOP norma baharu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini adalah sebanyak 95 peratus,” ujarnya.-K! ONLINE














