PETALING JAYA – Akhir bulan Ogos lalu merupakan kali terakhir orang ramai dapat melihat Blake, seekor anjing baka English springer spaniel dari dekat ketika menyertai raptai Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Putrajaya.
Namun pada pukul 4.38 petang, 18 September lalu, negara menerima khabar duka selepas Blake terpaksa ‘ditidurkan’ selepas dikesan menghidapi barah limfoma.
“Luluh hati saya selepas enam tahun bersama Blake, hampir 100 operasi telah dilakukan bersama dan sepanjang tempoh itu juga pelbagai kenangan manis dan pahit telah ditempuhi. Blake terpaksa ‘ditidurkan’,” ujar bekas penjaga anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PB Salbuddin Salleh.
Mengulas lanjut, anak jati Keningau, Sabah ini memaklumkan, antara misi paling sukar dan mencabar adalah termasuk misi menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, Bukit Kukus, Paya Terubong di George Town dan operasi menyelamat dua pendaki yang hilang di Gunung Suku, Simpang Pulai, Perak.
“Paling saya tidak lupa adalah misi menyelamat dua pendaki yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai. Saya dah Blake mengalami pengalaman ngeri apabila sesat sewaktu perjalanan turun dari gunung berkenaan.
“Ketika itu Blake sudah keletihan dan saya terpaksa memikul Blake kerana Blake sudah tidak ada tenaga untuk berjalan lagi. Waktu itu saya rasa seperti saya sedang mendukung anak sendiri.
“Selain itu, ketiga-tiga misi ini sukar memandangkan Blake terpaksa mengharungi lumpur dan perjalanan yang jauh serta memenatkan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Kosmo!.

Salbuddin menyifatkan, Blake seekor anjing istimewa serta tidak ‘banyak’ perangai.
“Blake satu-satunya anjing yang mudah menerima arahan dan tahu rutin hariannya, jadi senanglah saya uruskan Blake. Blake tahu bila mahu mandi, makan dan bila sesi latihan.
“Paling saya tidak lupa bila masa mandi, Blake satu-satunya anjing yang tidak akan meronta atau berlari sana-sini. Ia hanya diam dan menyerahkan badannya untuk dimandikan,” kata beliau.
Salbuddin, 34, melaporkan diri dengan badan beruniform itu sejak tahun 2016 dan menyertai unit K9 dua tahun kemudian memaklumkan bahawa sebenarnya dia penjaga ketiga Blake selepas haiwan itu tiba di Malaysia.
Jelasnya, ketika Blake sampai di Malaysia dan memulakan latihan bersama unit anjing pengesan K9 JBPM, terdapat dua penjaga yang menguruskan Blake sebelum itu.
“Bagaimanapun, Blake dilihat kurang serasi dengan dua penjaga sebelum ini kerana mereka sempat menguruskan Blake selama dua minggu sehinggalah saya diarahkan untuk menjaga Blake.
“Dalam tempoh beberapa minggu sahaja Blake mula serasi dengan saya, ia senang mengikut apa jua arahan yang saya berikan dan Blake juga semakin manja dengan saya.
“Sejak dari itu, hubungan kami semakin akrab dan saya dapat rasanya Blake seperti seorang anak dan Blake juga anggap saya sebagai ‘ayah’ dia,” katanya yang menganggap jiwa Blake masih ada bersamanya.
Untuk rekod, Blake terbabit dalam pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali; mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; Operasi SAR kepala air di Titi Hayun, Yan, Kedah dan SAR mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak, Pahang.
Blake antara empat anjing pengesan K-9 JBPM termasuk Lady, Grouse dan Poh dianugerahkan ‘Golden Performance Award’ yang disampaikan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming atas bakti yang dicurahkan semasa membantu operasi SAR tragedi tanah runtuh Batang Kali.
Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel berasal dari United Kingdom itu mula berkhidmat dengan pasukan bomba pada 2017. -KOSMO! ONLINE














