KANGAR – Seorang kerani hanya mampu memendam perasaan selama lebih 10 tahun apabila mendirikan rumah tangga dengan lelaki ‘anak emak’ sehingga sanggup mengetepikan tanggungjawab ke atas pasangan dan tiga anaknya sendiri.
Wanita dikenali sebagai Suria, 38, itu berkata, pada mulanya, dia berasa bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang patuh kepada ibu bapa.
“Suami saya merupakan anak sulung daripada enam beradik, jadi dia memang rapat dengan ibunya. Semua hal berkaitan keluarga, suami yang uruskan.
“Sewaktu mahu bernikah, ibu mentua memutuskan hanya buat satu majlis tanpa berbincang dengan saya dengan alasan mahu menjimatkan kos. Pada mulanya saya bersetuju demi kebaikan bersama.
“Namun, selepas itu, ibu mentua mula menunjukkan belang dengan mengatur kehidupan suami, saya dan juga anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Cerita Suria, selepas mendirikan rumah tangga, mereka menyewa berhampiran rumah ibu mentuanya walaupun jarak ke tempat kerja mengambil masa satu jam.
“Paling teruk apabila gaji suami sebagai eksekutif swasta turut diuruskan ibu mentua yang mana sebahagian besar dibelanjakan untuk perbelanjaan rumah mentua. Apabila berbincang, suami beritahu dia tersepit antara ibu kandung dan isteri.
“Memang kasihan kepada suami, tetapi lama kelamaan saya rasa ia tidak adil buat diri sendiri dan anak-anak. Ibu mentua pula bukannya orang susah, malah ada wang pencen.
“Keluarga mentua juga minta suami sediakan wang poket jika mereka mahu bercuti, sedangkan saya dan anak-anak tinggal di rumah. Jika berlarutan, saya sudah tidak tahan lagi dan mungkin perpisahan adalah jalan terbaik untuk kami,” katanya.
Nasib sama turut dialami Umairah, 33, yang memberitahu, dia nekad bercerai kerana tidak tahan selepas keluarga bekas suaminya mula memcampuri urusan mereka.
“Hubungan kami bermasalah sejak awal perkahwinan lima tahun lalu sewaktu tinggal bersama keluarga mentua. Suami yang merupakan penjawat awam tidak memberi nafkah kepada saya dan dua anak. Kesemua perbelanjaan saya yang tanggung.
“Sebahagian wang gaji suami diberikan kepada ibu dan adik bongsunya. Ibu mentua menetapkan setiap bulan bekas suami mesti memberikannya wang sebanyak RM1,000 selain menanggung adiknya yang masih menuntut di sebuah universiti tempatan.
“Ibu mentua juga membeli sebuah rumah dan pinjaman pula dibuat atas nama suami. Bekas suami menjelaskan separuh pinjaman bank tersebut setiap bulan,” jelasnya.
Katanya, suaminya merupakan anak yang bertanggungjawab kepada keluarga, namun keperluannya sebagai isteri dan dua anak diabaikan.
“Susu formula, lampin pakai buang dan wang rawatan anak semua saya yang selesaikan. Kami ada berbincang termasuk berpindah ke rumah lain, tetapi suami enggan,” dakwanya.














