GEORGE TOWN – Makan tengah malam, kerap minum teh ais dan stres merupakan antara faktor yang menyumbang penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes ketika usia muda.
Rata-rata pesakit memberitahu, mereka jarang atau tidak pernah melakukan aktiviti kecergasan kecuali ketika di bangku sekolah.
Seorang eksekutif swasta dikenali sebagai Nor Liana, 40, berkata, dia disahkan menghidap diabetes dan kolestrol tinggi sejak bekerja dari rumah ekoran pandemik Covid-19 pada 2021.
“Berat badan saya naik mendadak daripada 68 kilogram (kg) kepada 89kg disebabkan tidak kawal pemakanan. Setiap hari saya menempah dan membeli makanan dari luar.
“Selain itu, saya juga gemar memakan nasi tengah malam dan minum teh ais sekurang-kurangnya tiga bungkus sehari. Saya akui memang jarang mengambil air kosong,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, penjawat awam, Rahim Ali, 41, memberitahu, dia menghidap penyakit tiga serangkai pada tahun lalu selepas mengalami sakit dada dan pening kepala.
“Doktor beritahu saya hidap diabetes, darah tinggi dan kolestrol tinggi sehingga terpaksa mengambil ubat bagi mengawal penyakit tersebut.
“Tidak dinafikan, setiap kali stres bekerja tekanan darah naik mendadak. Selepas memakan ubat, baru terkawal,” katanya yang mendedahkan tabiat memakan nasi waktu tengah malam atau awal pagi.
Dalam pada itu, pembantu kantin, Mohd. Khairuldin Harun, 38, pula memberitahu, dia didiagnosis menghidap penyakit jantung tiga tahun lalu.
“Dulu, saya bekerja sebagai pemandu lori. Lepas terbabit nahas akibat serangan jantung, doktor nasihatkan saya supaya mencari pekerjaan lain. Ketika itu, saya memang stres, duit selalu tidak cukup, tapi kuat merokok.
“Selepas hidap penyakit jantung, saya terpaksa mengubah gaya hidup seratus peratus,” kata bapa kepada seorang anak itu.
Tambah Khairuldin, walaupun agak terkejut dan kecewa selepas disahkan menghidap penyakit jantung pada usia muda, namun bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berubah.
“Sekarang, saya juga sudah mula bersenam dan cuba menjaga pemakanan. Jika dulu semua makanan saya ‘bedal’.
“Nasihat saya, jaga pemakanan dan jangan jadikan rokok sebagai ‘ubat’ kepada masalah stres,” katanya.














