fbpx
Gambar hiasan. FOTO Romeo GACAD/AFP

Cari solusi isu sekuriti makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SELEPAS ini harga nasi akan naik RM1.50 ya,” itu pesan penjual nasi campur tepi jalan kepada penulis semasa berkunjung ke warungnya baru-baru ini.

Kedai yang terletak di Cheras itu tidak asing dengan penulis kerana di sana harga yang ditetapkan masih murah berbanding tempat lain.

Bagaimanapun, kali ini peniaga itu terpaksa akur dengan kenaikan harga barang, tambahan pula katanya stok beras tempatan kini sukar didapati di ­samping kenaikan harga beras import.

Apa yang berlaku adalah ­implikasi dalam diam walaupun pada hakikatnya tujuan untuk menaikkan harga beras import adalah bagi menggalakkan rakyat membeli beras tempatan.

Pada dasarnya tiada yang salah tindakan itu dilaksanakan, namun dengan situasi seperti yang dihadapi oleh peniaga kecil ini adakah perancangan itu sudah diteliti secara menyeluruh?

Dalam konteks ini, pelbagai spekulasi boleh timbul, terutama berhubung dengan sekuriti makanan di dalam negara.

Adakah kita mampu menampung permintaan terhadap beras tempatan yang kini menjadi satu-satunya opsyen mampu milik oleh rakyat.

Menteri Pertanian dan ­Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini menyatakan bahawa, Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok ­penimbal dan 650,000 tan bagi stok ­dagangan.

Katanya, bekalan ini mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

Melihat kepada kenyataan beliau, adakah tempoh itu merupakan tempoh selamat untuk ketersediaan bekalan jangka panjang.

Pihak-pihak berwajib perlu telus dalam menjelaskan hal ini terutama berhubung sekuriti makanan dan pada masa sama mencari solusi menanganinya.

Solusi ini juga penting memandangkan laporan Bank Dunia baru-baru ini menunjukkan situasi inflasi makanan dunia berada pada tahap membimbangkan.

Situasi tersebut akan memberikan impak besar kepada Malaysia yang juga bergantung kepada import input pertanian dan produk agromakanan.

Oleh demikian, antara solusi yang perlu dilihat adalah dengan mengukuhkan ekosistem sektor agromakanan tempatan.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Chakrin Utit berkata, pengukuhan sektor agromakanan wajar dan perlu dilaksanakan untuk keterjaminan bekalan makanan dalam negara.

“Penumpuan perlu dilakukan kepada pemantapan industri sokongan pertanian. Ini melibatkan industri yang membekalkan input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan.

“Pemberian insentif pengeluaran bersasar perlu dipertingkat, terutamanya kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menghasilkan input pertanian,” katanya.

Tambahnya, pemberian insentif boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti dalam bentuk kewangan buat pengusaha lama dan berdaya maju atau khidmat nasihat untuk pendatang baharu.

Kongsinya, inisiatif ini boleh memberi kesan jangka panjang yang mana ia membantu mengurangkan kos pengeluaran dan harga input pertanian keluaran tempatan.

Idea-idea seumpama ini perlu didengar dan diteliti oleh pihak-pihak yang berwajib supaya kita boleh menyediakan persiapan awal untuk berdepan dengan impak besar kepada pasaran input pertanian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN