fbpx
GAMBAR HIASAN

Sudah-sudahlah menjerit di jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PROTES atau bantahan menerusi demonstrasi jalanan bukanlah perkara baharu di Malaysia. Ia telah berlaku sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini.

Namun, protes jalanan paling hebat yang pernah berlaku dalam sejarah politik negara adalah ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Ia berlaku melalui gerakan reformasi pada tahun 1998 susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Kini, selepas 25 tahun berlalu dan Anwar telahpun diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10, protes jalanan masih terus berlaku.

Terbaharu, satu bantahan menerusi protes jalanan iaitu Himpunan Aman Selamatkan Malaysia telah berlangsung di sekitar ibu negara hujung minggu lalu.

Perhimpunan tersebut dilakukan sebagai tanda protes terhadap pembebasan oleh Mahkamah Tinggi terhadap 47 kes rasuah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hakikatnya, protes jalanan atau demonstrasi adalah amalan demokrasi yang biasa. Ia berlaku di seluruh negara hampir setiap hari atas pelbagai alasan. Ada yang bermotifkan politik dan ada juga yang dilakukan sebagai tanda rasa tidak puas hati kepada satu-satu isu.

Pihak yang menggerakan sesuatu protes ini biasanya berselindung di sebalik badan bukan kerajaan (NGO) ataupun agensi bebas. Menariknya, ada perhimpunan yang mendapat kebenaran pihak berkuasa, namun banyak juga protes jalanan yang tidak mendapat kelulusan untuk diadakan.

Walaupun kebebasan bersuara dan berhimpun itu dijamin dan dibenarkan, namun banyak perkara yang menjadi pertimbangan pihak berkuasa sebelum memberi kelulusan kepada satu-satu pihak untuk berhimpun.

Antara yang difikirkan adalah soal keselamatan dan ketenteraman awam memandangkan protes jalanan ini biasanya dilangsungkan di lokasi tumpuan orang ramai.

Ia sedikit sebanyak akan memberi kesan tidak baik, sama ada kepada kumpulan peniaga, pelancong luar mahupun pengguna jalan raya.

Lebih buruk daripada itu adalah kemungkinan tercetusnya provokasi melampau yang akhirnya menimbulkan suasana tegang di lapangan melibatkan peserta himpunan dan pasukan keselamatan.

Dalam dunia serba canggih ketika ini, demonstrasi atau protes jalanan mungkin bukan lagi solusi terbaik dalam menyuarakan rasa tidak puas hati atau bantahan kepada pihak atasan.

Sebenarnya, ada banyak lagi platform untuk bersuara dan menyuarakan pandangan. Kita boleh menulis di Facebook, berkongsi video di TikTok ataupun menganjurkan forum atau ceramah berilmiah.

Syaratnya hanya satu, iaitu tidak menyentuh isu-isu sensitif terutama berhubung kait soal kaum, agama dan institusi diraja.

Apa yang pasti, rakyat kini semakin bijak dan mereka lebih bersedia ‘menjerit’ dalam program santai seperti Keretapi Sarong daripada bermandi peluh berarak bagi tujuan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN