Biotropics Malaysia Berhad (Biotropics) mula beroperasi pada 2007 dengan memiliki kemudahan kilang serta makmal untuk melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D), usahanya itu telah berjaya mengharumkan nama negara sekali gus membawa jenama tempatan ke pasaran antarabangsa melalui suplemen berasaskan tongkat ali berjenama Nu Prep.
Syarikat yang pernah mendapat suntikan dana daripada Khazanah Nasional Berhad itu kini mampu berdikari selepas mencatat perolehan yang menguntungkan.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biotropics, Haliza Ramli, pihaknya serius dalam membuat kajian bagi menghasilkan produk yang selamat dan telah mendapat kelulusan serta mematuhi garis panduan daripada FDA Centre For Food Safety & Applied Nutrition, Europe.
“Bila kita bawa produk ke luar negara, kita juga kena jaga hal penjenamaan, jadi banyak yang kami telah belajar dan masih belajar.
“Sebenarnya, saya amat berbangga kerana orang di luar negara sudah menghargai tongkat ali dan mengamalkannya untuk kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis pelancaran kempen promosi ‘Ini barulah Tongkat Ali’ di Shah Alam baru-baru ini.

KOSMO!: Apa perkembangan terbaharu syarikat?
Haliza: Kami sebelum ini telah banyak membuat kajian dan sehingga kini ada banyak penemuan baharu yang mahu kami buktikannya kepada pasaran di luar negara. Sebenarnya tongkat ali sudah terkenal di dalam negara tetapi orang di luar sana hanya tahu pasal tongkat ali secara universal language.
Jadi kami jalankan kajian demi kajian untuk perkukuhkan intrinsic value produk. Pada masa sekarang, kami lakukan kajian untuk menggabungkan tongkat ali dengan multi vitamin, ini satu produk unik sebab di Malaysia, belum ada lagi dibangunkan mana-mana pemain.
Kita juga akan menghasilkan produk untuk membantu menguatkan memori, yang mana bila kita banyak berfikir sekali gus ia akan meletihkan.
Apabila kita campurkan bahan herba dengan tongkat ali, maka produk tersebut akan membantu meningkatkan fizikal dan menguatkan minda, jadi ini satu produk kombinasi yang
cantik.

Bila produk terbaharu itu akan dilancarkan?
Kita tidak lancarkan semua produk sekali gus sebaliknya berperingkat. Produk baharu itu, kita akan keluarkan pada bulan depan yang mana ia disasarkan untuk golongan profesional, berkerjaya serta eksekutif. Kita juga akan perkenalkan produk untuk segmen kanak-kanak juga.
Berapa produk dilancar setiap tahun?
Kebiasaannya kami akan melancarkan tiga produk baharu setiap tahun. Buat masa sekarang kami bahagikan kepada segmen lelaki dan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Kita juga sudah ada segmen untuk profesional dan yang terbaharu suplemen khusus untuk mereka yang bersukan dan mahukan stamina serta tenaga berpanjangan
Bagaimanapun, mengamalkan suplemen ini bergantung kepada tahap kesihatan badan masing-masing. Mungkin ia cepat bertindak kepada seseorang individu tetapi juga akan mengambil masa lama untuk disesuaikan kepada orang lain.
Berapa perolehan yang dicatat syarikat sebelum ini?
Secara puratanya adalah lebih kurang RM20 juta dan pada tahun ini kami sasarkan pertumbuhan adalah kira-kira 10 peratus.
Apakah faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut?
Kita lihat kepada perkembangan ekonomi semasa yang mana ekonomi sekarang berada dalam proses pemulihan dan banyak pengguna lebih berhati hati selepas pandemik yang lalu.
Tetapi perkembangan dari luar negara semakin berkembang terutamanya daripada pasaran eksport kami, antaranya dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun, Kemboja dan Hong Kong.
Sumbangan daripada pasaran eksport adalah 60 peratus dan bakinya pasaran domestik. Pasaran terbesar adalah dari AS.
Kami telah mempatenkan produk dengan kerjasama dari negara besar seperti AS, Jepun dan beberapa negara lain.
Ini kerana melalui paten, ia akan melindungi produk kami ditiru. Ia lebih selamat jika dipatenkan di negara besar kerana patern tersebut dapat melindungi kajian yang kami lakukan sebelum ini.

Adakah kapasiti tumbuhan tongkat ali mencukupi di hutan negara kita?
Sebenarnya kami ada juga terfikir tentang masalah tersebut. Kami juga buat kajian daripada data dan statistik yang diterima daripada Jabatan Perhutanan mengenai jenis hutan simpan, hutan untuk hidupan liar dan hutan yang boleh diterokai.
Kita juga dapat statistik mengenai jumlah pokok tongkat ali di setiap hektar hutan di seluruh negara. Kami ambil sumber tongkat ali di empat negeri iaitu di Pahang, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Daripada informasi diterima, kami hanya masuk ke kawasan hutan yang dibenarkan sahaja dan kita juga buat bancian serta anggaran untuk tempoh 20 tahun akan datang.
Berdasarkan pertumbuhan syarikat dan jumlah sumber diambil pesaing, kami hanya akan kami ambil kira-kira 20 hingga 25 peratus tongkat ali dari hutan.
Jadi dalam tempoh 20 tahun itu, kita akan dapat memberi ruang kepada tumbuhan tersebut untuk hidup semula. Kami juga sentiasa bekerjasama dengan Orang Asli kerana mereka yang akan masuk ke dalam hutan selain mencari pembekal yang berlesen.
Orang Asli akan menanam semula lebihan akar yang diambil dan mereka juga diajar cara penanaman semula kerana apabila tumbuhan itu besar maka itu adalah hasil mereka kerana ia boleh dijual kepada kami nanti
Syarikat juga ada menganjurkan program untuk meningkatkan pengetahuan pencari tongkat ali di hutan untuk tanam semula lebihan akar tersebut.
Apa perancangan terbaharu syarikat?
Selain tongkat ali, kami juga diberi mandat untuk membuat kajian tentang pelbagai tumbuhan dan herba yang lain.
Kesum adalah tumbuhan yang istimewa dan kami telah menjalankan kajian saintifik yang mana ia memiliki beberapa kelebihan kerana ia baik untuk kesihatan otak, menguatkan memori dan ia juga baik untuk meningkatkan kesihatan sendi. -KOSMO!ONLINE











