PETALING JAYA – Dibesarkan dalam keluarga khususnya ibu yang suka melihat anak-anak sentiasa menjaga penampilan dan kebersihan diri sejak kecil mendorong seorang usahawan terus meminati bidang kecantikan sehingga dewasa.
Minat yang dipupuk itu membuatkan Pengasas SpaConcept, Kenny Lai, 45, meneruskan kerjayanya dalam bidang kecantikan dengan berkhidmat di dua buah syarikat antarabangsa sebagai perunding produk di negara ini lebih daripada 20 tahun.
Mungkin sudah terlalu lama menimba ilmu, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dalam bidang yang diminati oleh kaum hawa ini, anak kelahiran Kuala Lumpur itu telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja atas alasan mahu merehatkan diri dan minda selain lari daripada kesibukan bekerja dalam dunia korporat.
Dalam mengisi masa yang terluang itu, lokasi pertama yang dituju untuk bercuti dan berehat adalah di Bali, Indonesia dan antara perkara yang paling suka dilakukan di sana adalah memanjakan dirinya di spa.

“Selepas keluar daripada sebuah spa, terdapat perubahan yang agak menarik terhadap muka saya apabila lebih segar dan putih kerana kakitangan di pusat rawatan kecantikan tersebut menggunakan bahan-bahan semula jadi.
“Ia membuatkan saya tertarik dan mahu tahu lebih lanjut tentang spa yang menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti timun, buah-buahan seperti manggis, betik, avokado dalam rawatan mereka.
“Daripada situ timbul idea untuk mengeluarkan produk berkonsepkan spa dan dibawa ke pasaran Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharunya SpaConcept di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.
Kenny Lai menjelaskan, fasa awal pengeluaran produk pada 2018 dan perniagaan berjalan lancar hinggalah negara di landa pandemik apabila memberikan impak negatif kepada syarikat sehingga terpaksa menghentikan bisnes sedia ada buat sementara.
Kini, setelah segalanya stabil, katanya, dia tampil memperkenalkan semula produk keluaran dengan segmen barangan yang lebih terhad tetapi berinspirasikan spa Bali selain menggunakan bahan semula jadi yang segar digabungkan dengan teknologi sains terkini.
Tambah usahawan ini, pengeluaran produk syarikat kini meliputi sebanyak lima SKU (unit simpanan stok) yang terdiri daripada tiga segmen iaitu siri penjagaan kecantikan, penjagaan badan dan kediaman.
Kenny Lai memberitahu, bersandarkan konsep tersebut, kajian dan pembangunan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bagi setiap produk yang dikeluarkan daripada kilang yang ditempah khusus dari Bali.
Lebih unik, ujarnya, produk yang dihasilkan daripada bahan semula jadi membuatkan tempoh jangka hayat produk SpaConcepts singkat iaitu sekitar enam bulan bagi memastikan kualitinya terus terpelihara sekali gus memberi hasil maksimum kepada pelanggannya.
“Para pelanggan kami tahu dan memahami tentang jangka hayat singkat itu tetapi sehingga kini testimoni yang positif diterima daripada pelanggan malah ia berjaya menarik minat pelanggan baharu untuk mencuba SpaConcepts,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kenny Lai berkata, antara produk terlaris adalah siri Lilylight yang mana diilhamkan daripada bunga teratai dan pati betik selain digabungkan dengan bunga semula jadi yang membantu memberi manfaat untuk melembapkan dan mencerahkan kulit.
Selain itu, produk hydrating mist dan brightening serum pula menjadi pilihan pengguna dalam siri penjagaan kecantikan dengan ia dihasilkan daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan semula jadi tulen bagi membolehkan pelanggan mengalami sensasi peremajaan kulit yang baik.
“Kami mengunjurkan jualan kira-kira 5,000 unit sehingga akhir tahun ini,” jelasnya sambil menambah harga produk keluarannya adalah antara RM88 sehingga RM238.
Ditanya mengenai perancangan terbaharu SpaConcepts, usahawan yang fasih berbahasa Melayu ini menerangkan, syarikatnya bakal memperkenalkan produk terbaharu daripada siri anti penuaan yang lengkap tahun depan dengan kajian dan pembangunan produk sedang giat dilakukan.
“Untuk siri produk penjagaan kecantikan dan penjagaan diri bagi lelaki pula akan dilancarkan pada 2025, mungkin agak lambat tetapi buat masa ini, biarlah kami mengukuhkan lagi jenama SpaConcepts,” ujarnya.
Tambah beliau, syarikat bercadang membuka outlet spa yang mana segala produk keluarannya dapat digunakan sepenuhnya kepada pelanggan dengan sasaran lokasi adalah di Pulau Pinang dan Sabah tahun depan.
Beliau tidak menolak kemungkinan untuk menjalankan kerjasama strategik dengan rakan niaga lain untuk merealisasikan projek pembukaan spa tersebut. -KOSMO!ONLINE















