Semalam, sudah 15 hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan Operasi Khas Motosikal secara besar-besaran di seluruh negara sehingga 30 September ini.
Sejak operasi bermula awal bulan ini, nama JPJ terus diratib, daripada warung kopi sehingga dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial.
Malah, dalam tempoh seminggu ini, JPJ menerima kecaman daripada netizen di media sosial. Akaun rasmi pihak berkuasa itu di Facebook turut diserang.
Ia bermula dengan isu ‘pukat-memukat’ yang didakwa sengaja dilakukan JPJ terhadap peserta Himpunan RXZ Member 5.0 di Kuala Terengganu hujung minggu lalu.
Susulan operasi besar-besaran di sekitar Terengganu pada Jumaat dan Sabtu lalu, hampir semua jalan ‘tikus’ keluar dari negeri itu digunakan penunggang RXZ untuk melarikan diri.
Ada yang menggunakan jalan ladang sawit, lorong perumahan dan kampung, malah hutan turut dilalui untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya ketika waktu malam.
Ramai peserta himpunan tersebut yang tidak berpuas hati serta melabelkan JPJ dengan pelbagai tuduhan selain menganggap tindakan kali ini sangat agresif.
Bagaimanapun, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, tidak timbul isu ‘pukat-memukat’ sempena Himpunan RXZ Member 5.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, sebaliknya operasi sama turut diadakan di seluruh negara.
Motosikal yang disita juga melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, melakukan modifikasi ekstrem, tiada nombor pendaftaran dan nombor casis sudah diganggu.
“Jika mereka datang dalam keadaan standard, kita tidak kacau. Lagipun difahamkan, daripada lebih 40,000 peserta hadir, hanya 126 motosikal yang disita,” katanya.
Selepas isu ini semakin reda, timbul pula isu baharu apabila tular satu rakaman video kelmarin yang memaparkan seorang rider terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya disita JPJ.
Rakaman video itu menyentuh hati ramai orang yang bersimpati dengan nasib lelaki itu ketika sedang menghantar makanan dari Salak Tinggi ke Nilai. Bertambah lagi kecaman terhadap agensi penguatkuasaan.
JPJ dalam kenyataan menjelaskan, tiada Lesen Kenderaan Motor dan insurans menjadi punca motosikal rider itu disita bagi melindungi rider terlibat dan juga pengguna jalan raya lain jika berlaku kemalangan.
Dengan berbaki setengah bulan lagi Operasi Khas Motosikal secara besar-besaran ini, mungkin terdapat kecaman baharu yang terus dihadapi JPJ, namun ia tidak akan mematahkan semangat dalam menguatkuasakan undang-undang.
Diharapkan operasi itu akan mencapai objektif dalam mengurangkan kadar kematian yang semakin meningkat melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Sejak Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 2,672 kadar kematian melibatkan golongan itu direkodkan dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Justeru, jangan takut dengan penguat kuasa JPJ, sebaliknya takut dengan kematian atas jalan raya akibat kecuaian sendiri atau orang lain.
















