ALOR SETAR – Ketagihan orang muda mencari keseronokan di media sosial dan terlalu bergantung kepada gajet semakin membarah apabila ada antara penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup ponteng kelas selama dua semester.
Malah lebih buruk, apabila ada antara pelajar sekolah rendah yang terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri kerana tidak mahu ke sekolah selain terdapat kanak-kanak yang mengamuk gara-gara ‘gila’ gajet.
Kebergantungan mereka terhadap gajet dalam melayari Facebook, Instagram dan TikTok atau bermain ‘game’ mengundang padah apabila berdepan kesukaran untuk bergaul atau menjalinkan hubungan secara face to face.
Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud mendedahkan, berdasarkan pemerhatian orang muda kini dilihat lebih cenderung ‘berkawan’ dan mencari keseronokan di media sosial sehingga tidak lagi mempunyai keinginan untuk bersosial dengan orang ramai di dunia realiti.
Menurutnya, kegilaan terhadap gajet ini makin buruk apabila beliau pernah menerima pesakit kanak-kanak yang akan mengamuk sekiranya tidak dibenarkan menggunakan gajet.
“Pelajar sekolah rendah itu juga enggan ke sekolah sehingga ibu bapanya terpaksa membawanya mendapatkan rawatan psikiatri,” katanya.

Lebih mengejutkan apabila terdapat pelajar tahun akhir sebuah IPT sanggup ponteng kelas selama dua semester gara-gara gajet.
“Penggunaan gajet bagi melayari media sosial secara keterlaluan sehingga menjadi dunianya sendiri menyebabkan pelajar terbabit bermasalah.
“Pelajar terbabit mendakwa dia selesa belajar secara online berbanding dalam kelas selain bermasalah untuk melakukan tugasan berkumpulan,” ujarnya.
Katanya, pesakit seperti itu boleh dirawat menerusi terapi tingkah laku, namun memerlukan mas, kemahuan yang tinggi.
Menurutnya, sebilangan pelajar didapati mempunyai intelligence quotient (IQ) atau darjah kecerdasan otak yang tinggi tetapi malangnya memiliki emotional quotient (EQ) atau darjah kecerdasan emosi dan social quotient (SQ) atau kecerdasan sosial yang rendah akibat penggunaan gajet secara keterlaluan.
“Ramai seperti itu yang mana mereka ini bijak dan mempunyai kecerdasan otak yang tinggi tetapi daripada segi komunikasi dan emosi rendah.
“Mereka ini tidak pandai berbual, berinteraksi dan berbincang selain sukar mendapat kawan di dunia realiti. Kumpulan masyarakat ini juga mempunyai rasa kurang yakin berada dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
Katanya, situasi itu berbeza dengan masyarakat dulu yang banyak meluangkan masa bermain di luar dengan rakan-rakan pada waktu kecil sehingga dewasa.
“Kehidupan dengan masyarakat itu sudah diajar sejak dari kecil, jadi ia sudah menyerap dalam diri mereka. Namun bagi mereka yang dari kecil, sudah diberi gajet dan menghabiskan seluruh masanya dengan alat itu, sudah pasti ia memberi kesan kepada EQ dan SQ mereka,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam memastikan anak-anak tidak menggunakan gajat secara keterlaluan sehingga mengabaikan kepentingan bersosial secara realiti,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, kebergantungan kepada gajet juga mendorong kepada isu sosial yang berkemungkinan diajar untuk mencederakan diri sendiri kononnya untuk meredakan tekanan.
“Sebagai contoh ada pelajar yang sanggup melukakan tangan bila tertekan, malah ada yang menghantukkan kepala pada dinding. Semuanya belajar dari media sosial,” katanya.
Tambahnya, sekiranya penggunaan gajet itu sudah sampai tahap keterlaluan sehingga mengganggu tahap psikologi serta fungsi sosial seseorang, mereka itu boleh dikatakan telah mengalami masalah jiwa.
“Gajet ini sangat penting dalam kehidupan, namun jika disalah guna ia akan memberi kesan mudarat kepada kehidupan manusia secara keseluruhannya,” katanya.
















