Kehadiran kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat, United States Coast Guard Cutter (USCGC) Munro ke Pelabuhan Kuantan, Pahang pada 26 Ogos lalu menjadi detik bersejarah apabila kali terakhir kapal berkenaan berlabuh di negara ini ialah lima tahun lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.
Meskipun hanya kapal pengawal pantai dan bukannya kapal tentera laut, namun kapal berkenaan tampak gah bagaikan sebuah kapal penyelamat dan tempur yang hebat.
Sebaik penulis melangkah masuk semasa lawatan ke kapal berkenaan baru-baru ini, penulis berasa bagai berada di dalam sebuah kapal perang dengan pelbagai peralatan pertempuran.
Kewujudan helikopter di ruang hangar dan juga bot kecil menunjukkan kapal berkenaan lengkap dengan kemudahan untuk pelbagai operasi di lautan.
Malah, peluang memasuki dek utama kapal menyaksikan ia memiliki teknologi pelayaran terkini dan canggih untuk pelbagai situasi.
Kehadiran kapal berkenaan juga sekali gus menyaksikan julung kalinya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjalinkan kerjasama dengan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) dalam usaha memperkasa aspek keselamatan di laut.
Apa yang menarik ialah kapal USCGC Munro yang dikendalikan seorang wanita, Kapten Rula Deisher yang berlayar dari Florida, Amerika Syarikat (AS) itu adalah antara kapal canggih yang dimiliki pihak berkuasa Pengawal Pantai negara berkenaan.
USCG adalah pasukan yang menjaga keselamatan maritim, mencari dan menyelamat serta penguat kuasa undang-undang pasukan keselamatan AS sepertimana Maritim Malaysia di negara ini.
Menurut Deisher, nama kapal yang memulakan perkhidmatan pada 1 April 2017 itu adalah bersempena nama Pegawai USCG, Douglas A. Munro yang menerima Pingat Kehormatan AS kerana berjasa dalam peperangan Guadalcanal pada 1942.
“Misi utama USCGC Munro termasuk operasi pertahanan nasional dan luar, menangani pengedaran dadah, penguatkuasaan undang-undang, mencari dan menyelamat, penguatkuasaan perikanan dan jangkauan antarabangsa,” katanya.

Beliau memberitahu, USCG mempunyai lebih 10 buah kapal seperti itu yang memiliki peralatan yang canggih dan keupayaan militari untuk bertempur dan mempertahankan diri.
Dalam pada itu, kata Deisher, kapal yang mempunyai 135 orang kru itu dibahagikan kepada lima bahagian iaitu operasi, kejuruteraan, sokongan, sistem pertempuran dan dek.
Deisher menerangkan, kapal sepanjang 127.4 meter dengan lebar 16.5 meter berkelajuan 29 knot itu adalah kapal perang berkeupayaan tinggi bagi menyempurnakan pelbagai misi di lautan.
Katanya, kapal berkenaan juga mempunyai pelbagai sistem senjata tersedia iaitu 57MM Bofors Gun, Phalanz CIWS 20MM, 50 Caliber Machine Gun dan Light Machine Gun yang mempunyai keupayaan bertempur serta menangkis serangan.
Tambahnya, dalam melaksanakan operasi, kapal berkenaan juga dilengkapi bot kecil iaitu bot bersaiz 8 meter dan juga bot pemintas sepanjang 11 meter.
Selain itu ujarnya, dek penerbangan yang luas dengan dua hangar membolehkan USCGC Munro membawa helikopter pengawal pantai dan Unmanned Aerial Reconnaisance Vehicle (UAV) atau pesawat tanpa pemandu.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kehadiran kapal USCGC Munro bagi latihan bersama amat signifikan dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut di rantau ini.
Kata Aminuddin, dengan kehadiran kapal berkenaan dapat mendedahkan pasukan Maritim Malaysia dengan kapal canggih yang mempunyai pelbagai peralatan seperti helikopter dan sebagainya.
Jelasnya, pada kali ini juga dua pegawai Maritim Malaysia akan mengikut kapal itu berlayar sekali gus belajar bekerja dalam kapal canggih itu.
“Maritim Malaysia juga didedahkan dengan kapal canggih dimiliki USCG yang boleh memberikan pengalaman kepada agensi itu mengenai spesifikasi kapal dan penggunaannya sekiranya Maritim Malaysia menerima aset kapal seperti itu kelak,” ujarnya.
















