PETALING JAYA – Golongan ibu bapa menyelar sikap segelintir guru yang didapati sengaja menggunakan anak murid sebagai kandungan untuk dimuat naik ke akaun laman sosial mereka demi mengejar populariti dan mendapat habuan peribadi.
Walaupun ada sesetengah video yang mengundang simpati, namun tanpa disedari ia tetap dianggap sebagai menggunakan anak murid sebagai prop (alat peraga) untuk guru menambah jumlah pengikut supaya mudah jika mahu mempromosikan barang jualan.
Pengusaha spa, Halina Abu Husin, 40, berkata, tindakan itu amat tidak bertanggungjawab kerana tak menjaga sensitiviti murid serta ibu bapa.
Katanya, sikap segelintir guru yang obses dengan media sosial membuatkan mereka terlupa matlamat sebenar sebagai pendidik.
“Saya tiada masalah jika berkongsi mengenai ilmu atau aktiviti dibuat di laman rasmi sekolah tetapi jika kandungan itu bertujuan peribadi ia tidak boleh diterima.
“Lebih teruk ada dalam kalangan guru yang juga pencipta kandungan mula hilang rasa malu dan tak fikir kesan kepada ibu bapa, murid serta profesion hanya kerana mahu penonton,” katanya yang mempunyai dua anak.
Menurut Halina, perbuatan itu mungkin akan merisikokan murid dan keluarganya kepada ancaman luar kerana kekurangan maklumat mengenai sejarah kehidupan mereka.
Tambahnya, ia ekoran ada ibu bapa tidak mendedahkan anak mereka di media sosial atas sebab tertentu.
“Tindakan guru itu boleh menjadi punca murid tak lagi berminat untuk belajar kerana menjadikan terpengaruh dengan perbuatan pendidik berkenaan yang menjadi terkenal dengan mudah kerana kandungan tular,” katanya.
Sehubungan itu, Halina mahu Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera sebelum perkara ini membarah dalam kalangan guru.
“Saya tak menolak teknologi tetapi satu garis panduan perlu diwujudkan supaya penggunaannya terutama dalam kalangan pendidik tidak tersasar,” katanya.
Bagi ibu kepada empat anak, Zila Zakaria, 42, pula berpendapat, dia tidak kisah jika kandungan yang dikongsikan guru itu berkaitan pelajaran.
“Tapi kalau merapu, memang tak sesuai sebab saya sebagai ibu pun jarang nak kongsikan tentang anak sendiri di khalayak.
“Perlu ingat ada dalam kalangan ibu bapa sangat menjaga privasi dan secara tidak langsung mereka juga tidak gemar jika anaknya ditayang kepada umum oleh orang lain,” kongsinya.
Seorang pekerja swasta, Hasliza Ibrahim, 47, berkata, sangat tidak wajar tindakan guru menghasilkan kandungan tanpa memikirkan kesan akan datang.
“Adakala apa yang dikongsikan nampak lucu pada pandangan umum tetapi sebaliknya bagi anak murid terlibat kerana mereka juga mempunyai perasaan malu.
“Apatah lagi jika kandungan tersebut menjadi bahan sindiran, ejekan dan kejian rakan-rakan, sudah tentu ia akan beri kesan kepada emosi murid terbabit,” ujarnya.
















