BENTONG – Seorang bekas polis cawangan khas memberitahu, dia pernah dilabel sombong ketika menyamar sebagai gelandangan untuk mengesan kedudukan komunis sehingga lokasi penyembunyian pengganas itu dapat diserbu.
Mengimbau semula kejadian itu, Ahmad Rusli Ibrahim, 82, berkata, ketika itu dia ditugaskan untuk mengesan kedudukan komunis termasuk mengintip pergerakan dan kedudukan ahli jawatankuasa tertinggi komunis Pahang, Perak dan Selangor, Yau Tai Chong.
Katanya, sebagai anggota cawangan khas, antara cabarannya ialah dia perlu merahsiakan identiti dan terpaksa mengikuti suspek dengan dekat hingga merisikokan keselamatan diri.
“Saya menyamar sebagai gelandangan untuk mengesan komunis di kawasan bandar. Saya pernah tinggal di tepi longkang lalu terserempak dengan bapa saudara.
“Saya buat tak tahu bila dia tegur hingga saya dilabel sombong. Itulah cabaran kerja hingga tidak ada gambar kenangan yang boleh disimpan,” katanya yang bertugas di cawangan khas E3 Bukit Aman berpangkat inspektor.
Menurut Ahmad Rusli, komunis bandar sukar serta rumit dikesan kerana mereka menyamar sebagai orang awam dan sudah ada jawatan seperti ahli majlis.
Tambahnya, ada satu ketika dia dan rakan nyaris maut apabila identiti mereka dikesan komunis.
“Ketika itu kami mengintip Tai Chong hingga dia mati ditembak dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ampang pada 1970. Sebelum itu kami mengekorinya dengan menaiki motosikal di Kepong, Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Kampung Ketari di sini.
Ujar Ahmad Rusli, apabila sampai di Bulatan Kepong, Tai Chong telah memecut selepas menyedari dia diekori.
“Kami terus kejar sebelum dengar anggota jerit supaya saya tunduk kerana suspek mula melepaskan tembakan. Suspek melarikan diri dan anggota bekerja keras siang malam mengesannya.
“Selepas dua minggu, suspek dikesan berada di sebuah rumah di Ampang dan polis mula serbu kediaman sebelum berlaku kejadian berbalas tembak. Suspek cuba lari ke hutan tetapi gagal kerana dia mati ditembusi peluru pasukan keselamatan,” kata pengasas pasukan keselamatan Lembaga Letrik Negara itu.














