fbpx
DOKTOR popular yang bertugas di sebuah klnik di Kota Tinggi, Johor ini akui dirinya pada awalnya seorang yang (camera shy) malu di depan kamera. Pengikutnya terus mencanak naik dan kini mampu mengumpul hampir 380,000 pengikut di TikTok.

Doktor penglipur lara kongsi kisah hospital di TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI satu sudut dalam sebuah ruang, kedengaran suara bernada lemah lembut dan begitu menenangkan keluar dari mulut seorang wanita.

Itu sekali gus bermakna, sesi siaran langsung (live) wanita tersebut dalam TikTok sudah pun bermula bagi berkongsi maklumat bersama para pengikutnya.

Selesa mengenakan tudung bawal dengan solekan ringkas pada wajah, ada sahaja topik menarik yang akan dikupas dan dikongsikan.

Menariknya, pegawai perubatan yang dikenali warga maya dengan nama Dr. Shazwanie Azeera ini sangat mudah didekati menerusi cara penyampaiannya yang bersahaja.

Celotehnya yang seakan-akan sedang bercerita dengan ‘kawan sendiri’ menggunakan nada sopan, sedikit lambat tetapi tersusun membuatkan popularitinya meningkat naik.

Justeru tidak hairanlah sejak menyertai platform TikTok bermula 2021 dan serius sekitar Mac tahun lalu, pengikutnya terus mencanak naik dan kini mampu mengumpul hampir 380,000 pengikut.

Shazwanie menyifatkan perjuangan kakitangan kesihatan mempertahankan negara daripada wabak Covid-19 juga memiiiki nilai patriotisme.

Berkesempatan menemu bual pemilik nama lengkap Shazwanie Azeera Soberi baru-baru ini menerusi panggilan telefon, ibu dua anak itu juga tidak pernah menyangka perkongsiannya mampu menarik perhatian ramai.

Menurutnya yang kini bertugas di sebuah klinik di Kota Tinggi, Johor, sambutan diterima benar-benar di luar jangkaan kerana baginya, dia sekadar berkongsi pengalaman sepanjang hampir lima tahun menceburi bidang perubatan.

“Kalau diikutkan bagaimana bermula, seingat saya ketika Ramadan tahun lalu, tidak begitu ramai pesakit datang ke klinik.

“Jadi, saya agak bosan dan bagi mengisi masa terluang, saya cuba aktif dalam aplikasi TikTok kemudian muat naik video di situ.

“Saya ini seorang yang camera shy (malu di depan kamera) dan pada ketika itu hanya menggunakan audio latar TikTok tanpa gunakan suara sendiri,” katanya kepada Aura.

Meneruskan cerita, sampailah satu hari ada seorang pengikut meninggalkan komen dan meminta dirinya berkongsi pengalaman seram sepanjang bergelar doktor.

“Dua ke tiga hari juga saya ambil masa untuk balas komen itu dalam bentuk video dan tak sangka perkongsian saya itu dapat perhatian waris pesakit berkaitan.

“Bertitik tolak dari situlah pengikut saya mula bertambah dan nekad untuk aktif dalam TikTok menggunakan kelebihan dalam bercerita kepada masyarakat berkenaan kisah-kisah di hospital,” ujarnya.

Akuinya, dia sangat selesa menggunakan bahasa mudah dan bukan terma perubatan supaya mereka yang menonton memahami apa cuba disampaikannya.

“Boleh dikatakan 100 peratus apa yang saya ceritakan di TikTok adalah berdasarkan apa dilalui sepanjang menjadi doktor dan bukannya rekaan.

“Ini termasuklah berkenaan pengalaman saya dan rakan-rakan ketika menjadi doktor pelatih dan kontrak di Hospital Sungai Buloh sewaktu sebelum dan ketika pandemik Covid-19 berlaku.

“Mereka (pengikut) kata saya ada aura penglipur lara walaupun sebenarnya saya seorang yang bercakap lambat, malah keluarga turut mengakuinya.

“Masyarakat kita sebenarnya mendapat maklumat yang terhad berkenaan kesihatan dan saya lihat terlalu banyak percanggahan maklumat yang diterima sehingga mereka terlalu takut untuk mendapatkan rawatan.

“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk memberi kefahaman dan ilmu berkenaan kerjaya kedoktoran dan juga kesihatan kepada semua,” katanya.

TIKTOK Shazwanie sudah mengumpulkan hampir 380,000 pengikut.

Lumrah dalam kehidupan, tidak semua perkara baik itu diterima dan kadangkala dikecam melulu tanpa usul periksa

Begitu jugalah yang dialami Shazwanie Azeera yang pernah mengambil keputusan untuk menutup akaun TikToknya selama seminggu sekitar Julai tahun lalu.

“Saya tidak aktif di TikTok selama seminggu selepas terbaca satu komen yang mempersoalkan adakah saya ini benar-benar doktor selain mempertikaikan rupa paras saya sebagai penyampai maklumat.

“Selain itu, saya juga mengambil keputusan tersebut kerana tidak mampu membahagikan masa untuk keluarga, kerjaya dan juga bagi mencipta kandungan dalam TikTok.

“Pada masa sama juga disebabkan isu keselamatan kami sekeluarga kerana saya mula mendapat beberapa kiriman komen kurang enak dibaca,” ujarnya.

Pun begitu, setelah berbincang dengan suami, Mohammad Asyraf Mohammad Rasudin, 33, dia kembali meneruskan menyampai maklumat dengan pantauan daripada suaminya.

Akuinya, bukan mudah untuk bahagikan masa, tambahan kedua-dua anaknya masih kecil dan memerlukan perhatian penuh.

Berkongsi perancangan dan hala tuju, anak jati kelahiran Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang ini berkata, selagi dikurniakan kudrat dan kesihatan, dia akan terus berkhidmat sebagai doktor.

“Impian saya adalah untuk membuka klinik sendiri cuma sekarang belum ada rezeki kerana modalnya bukan sedikit. Insya-Allah satu hari nanti.

“Terima kasih juga kepada semua yang memberi sokongan dan sudi jadi pendengar. Diharap saya dapat terus berkongsi ilmu dengan masyarakat supaya tiada salah faham berkaitan ilmu perubatan,” ungkapnya.

Ditebak erti kemerdekaan baginya sempena Hari Kebangsaan ini, Shazwanie Azeera berkata, kemerdekaan adalah apabila kita mampu mempertahankan minda dan diri kita daripada dijajah.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menjaga nilai budaya, adab dan agama serta menghormati mereka yang berilmu dan ilmu itu sendiri.

“Jika kita mampu menjaga semua ini, insya-Allah kita adalah mereka yang merdeka dan tidak boleh dipijak.

“Paling jelas semangat patriotisme atau mempertahankan negara saya adalah ketika negara dilanda wabak Covid-19 bermula hujung 2019.

“Pada waktu itu seluruh gerakan kesihatan bertungkus lumus mempertahankan negara dan rakyat daripada terus dimamah wabak maut tidak diundang itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN