“Habiskan pembelajaran dan jadilah pelapis content creator yang bagus (dan) yang boleh memajukan negara kita Malaysia.”
Demikian ucapan ringkas, tetapi padat dan cukup bermakna daripada pempengaruh, Khairul Aming ketika beliau dinobatkan sebagai Creator of The Year pada majlis TikTok Award Malaysia 2023 yang berlangsung pada hujung minggu lalu.
Siapa dalam kalangan kita yang tidak mengenali figura bernama Khairul Amin yang terkenal dengan tagline what’s up guys. Bermula dengan perkongsian mengenai video-video masakan, Khairul Aming kemudian mendaki sedikit demi sedikit sebelum bergelar usahawan sambal.
Setiap kali video masakannya dimuat naik di dalam media sosial, beliau mendapat jutaan tanda suka (likes). Produk sambal yang dijual Khairul Aming pernah tular kerana berjaya dijual sebanyak 13,000 botol dalam masa hanya dua minit.
Ya, dalam tempoh dua minit sambal tersebut habis licin diborong pelanggan sehingga mewujudkan fenomena, namun itulah dia aura insan bernama Khairul Aming.
Apa sahaja yang dilakukan pemuda tersebut, sudah pastinya hal-hal yang positif sentiasa mendapat perhatian, malah dijadikan contoh oleh yang orang lain.
Beliau tidak ‘menjual’ rupa paras dan tidak memerlukan content atau kandungan murahan dan memualkan untuk membina nama dan jenama sendiri.
Itu yang sepatutnya dicontohi oleh pencipta kandungan lain. Itu bezanya orang berpelajaran ‘membuka mulut’.
Setiap perkataan dalam ucapannya pada majlis minggu lalu walaupun tidak sampai satu minit,
Khairul Aming menekankan mengenai ilmu dan adab.
Hari ini dengan kewujudan pelbagai media sosial, orang ramai berlumba-lumba mahu mengumpul tanda suka dan pengikut ramai seterusnya menjana pendapatan yang lumayan.
Pada zaman sekarang, sesiapa sahaja boleh menjadi terkenal dalam media sosial. Apabila mula terkenal, ada yang sanggup mengabaikan pelajaran dek terleka mengejar wang.
Menjadi content creator merupakan satu amanah yang besar dan berat. Setiap mereka perlu ada rasa tanggungjawab terhadap setiap kandungan yang dikongsi. Kelompok ini mempunyai pengaruh yang besar, jadi mereka harus menjadi contoh yang baik kepada pengikut masing-masing.
Itulah kualiti yang diperlukan, bukannya melenting apabila ditegur. Paling penting adalah kandungan yang dikongsikan itu memberi manfaat kepada orang ramai.
Agak sukar untuk bertahan sekiranya tiada perancangan dan ‘ilmu’. Kalau tersilap langkah, boleh tanggung malu seumur hidup. Ada yang bersengkang mata sampai pagi untuk mencari idea menghasilkan kandungan menarik, namun kreatif sahaja tidak memadai, tetapi harus bermanfaat.














