BERTARING dan berbisa. Demikian terjemahan paling tepat sebagai gambaran persembahan band ikonik Search menerusi konsert Search Fantasia Bulan Salju di Arena of Stars yang menghimpunkan lautan manusia pelbagai lapisan usia tempoh hari.
Genting Highland menjadi saksi gelanggang fiesta rock yang disambut gema suara peminat sebaik ikon rock, Datuk Amy dan rakan seperjuangannya menjejakkan kaki di pentas.
Aura dendangan menggamit memori Search tak lapuk dek zaman apabila berjaya membuat sekitar 5,000 penonton khayal dibuai seleksi malar segar sejak kumpulan legenda itu mendominasi arena muzik bermula tahun 1980.

Lebih tiga dekad melakar nama dalam arena muzik tanah air meletakkan mereka sebagai kugiran legenda yang sudah matang dengan sepak terajang dunia muzik tempatan jua Nusantara.
Tepat pukul 8.40 malam, kemunculan vokalisnya, Amy diiringi barisan kumpulan Search disambut jeritan penonton yang sudah lama kehausan hiburan langsung daripada kumpulan pujaan mereka.
Masing-masing tampil dengan aura pemuzik rock sejati. Amy kekal elegan dengan imej eksklusif dan tidak berlebihan.
Memilih jaket labuh merah menyala dipadankan dengan seluar jeans hitam nyata membuatkan Amy seperti tidak langsung dimamah usia.
Konsert berdurasi hampir tiga jam dinikmati seiring sorakan penuh tenaga penonton tanpa henti membangkitkan lagi gelora jiwa rock yang berlegar memenuhi gelanggang.’

Malar segar
Menariknya, konsert mega tempoh hari menyaksikan Search menjadi band tempatan pertama yang beraksi di Arena of Stars setelah 38 tahun dewan gah itu bertapak di Genting Highland.
Antara repertoire persembahan merangkumi Bencana, Derap Komando, Langit dan Bumi, Menawan Rasa, Gelora Cinta diikuti dengan lagu-lagu hits yang pernah mencipta fenomena seperti Gelora Cinta dan Honky Tong Kosong.
Amy melantunkan sebanyak 26 dendangan termasuk lagu hits yang pernah menjadi fenomena dalam arena muzik tanah air suatu ketika dahulu bahkan masih berkumandang di corong-corong radio sehingga kini.
Dengan lambakan seleksi popular sedia ada, Search tidak perlu menahan penonton untuk terus duduk di kerusi dengan memeram lagu hits di akhir persembahan seperti yang dipraktikkan penyanyi atau pemuzik lain.
Bayangkan, Fantasia Bulan Madu didendangkan seawal lagu ketujuh membuktikan lagu malar segar tersebut sentiasa meniti di bibir setiap penonton yang hadir sekian banyak masa.
Lebih menusuk, dendangan lagu tersebut diberi suntikan emosi dengan turunnya ‘salji’ selari judul konsert Fantasia Bulan Salju sekali gus menjadi sebuah elemen ringkas seiring menepati suasana dihembus angin nyaman tanah tinggi.
Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan dengan persembahan seakan-akan membawa penonton kembali ke masa lalu menerusi alunan melankolik seperti Rozana, Laila Namamu Teratas dan Nigina.
Tidak memberi penonton berehat walau sejenak, Search berjaya membuat audiens tidak senang duduk dek mahu bangun melambai tangan menikmati antem ‘kebangsaan’ mereka menerusi dendangan Tiada Lagi, Gadisku, Kejora dan Isabella.

Intermission
Pada bahagian pertengahan malam penuh memori itu, adrenalin konsert dideraskan lagi dengan persembahan istimewa gadis berusia 17 tahun, Naimi yang diamanahkan sebagai pemain drum kedua.
Bayangkan gadis kecil molek bernama Naimi itu bagai mengemudi konsert mega tersebut dengan ketukan drum bertalu-talu membuatkan hampir seluruh penonton bertepuk tangan jua bersorak tanda kagum dengan bakat anak muda itu.
Seiring bergemanya paluan drum, Amy muncul semula berjalan di atas pentas sambil melantunkan alunan lagu Diary Habil Qabil, Gothik Malam Edan, Cakap Memang Murah dan Paranoid.
Tidak dilupakan juga dendangan lagu sarat makna ciptaan komposer hebat tanah air M. Nasir berjudul Isi Atau Kulit yang berjaya membuatkan segenap ruang Arena of Stars bergema dengan suara penonton yang ikut sama menyanyi menjiwai setiap bait lirik.
Tiada frasa yang dapat menggambarkan situasi malam bersejarah itu selain ‘epik’. Hampir tiada cacat celanya, suara Amy jelas lantang seperti dulu-dulu, sistem audio juga tidak terlalu bingit seiring cemerlangnya pencahayaan pentas jua paparan skrin LED.

Tenaga maksima
Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksima seiring sokongan penuh daripada peminat yang sejak awal bersorak demi mereka meskipun sedar konsert sudah hampir melabuhkan tirainya.
Tidak berundur tanpa dua lagu ‘head banging’ iaitu Pelesit Kota dan Pawana sebagai seruan wajib, Search berjaya merasuk ribuan penonton melompat menggoyangkan kepala seperti sedang ‘kecanduan’ untuk kembali menyaksikan persembahan sehebat itu pada lain masa.
Stamina Amy yang sudah meniti usia mencecah lebih separuh abad itu selayaknya dipuji. Dia tidak sedikitpun menunjukkan rasa kepenatan mahupun semput ketika menyanyi. Malah tenaga yang ditampilkan di atas pentas tidak ubah seperti dulu-dulu.

Begitu juga barisan ahli kumpulan yang terdiri daripada Nasir, Man Kidal dan Hillary. Mereka masih lagi gagah berjuang memainkan instrumen menyokong paduan suara supaya konsert tersebut kaya dengan bunyi-bunyi yang megah.
Hakikatnya, hanya usia menghitung angka, namun jiwa mereka sentiasa muda remaja. Justeru, tidak hairan ramai rakan selebriti enggan melepaskan peluang mengikut malam bersejarah tempoh hari antaranya Datuk Syafinaz Selamat, Ella, Nabila Huda dan ramai lagi.
Konsert malam tersebut menjadi bukti keampuhan kumpulan Search yang tiada tolok bandingnya.
Sehingga kini, aura rock sejati jelas terpancar menerusi kesungguhan mereka berkarya memperjuangkan muzik genre yang dikatakan takkan mati ditelan zaman itu.

















