Takdir dan ketentuan Allah tiada siapa dapat menghalang. Tragedi pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, minggu lalu yang mengorbankan 10 nyawa adalah ketentuan tuhan.
Kepada kebanyakan orang ia sesuatu yang mengejutkan dan tidak disangka. Rakaman video kejadian yang disebarkan termasuk bagaimana kapal terbang itu menjunam sehingga keadaan mangsa terbakar seolah-olah aksi filem Hollywood.
Satu rakaman CCTV sebuah rumah penduduk menunjukkan bola api besar sebaik pesawat itu menyembah bumi. Satu negara terkejut dan berduka.
Keluarga semua 10 mangsa nahas akan mengambil masa meratapi kehilangan mereka tersayang. Setiap mangsa adalah anak, suami, isteri, ayah dan rakan kepada seseorang.
Jelas setiap kehilangan akibat kemalangan adalah tragedi tetapi kejadian nahas udara Beechcraft 390 (Premier 1) ini berlainan kerana rakaman yang disebarkan selain tapak tragedi serta cebisan mangsa yang lebih 200 ditemui di tempat kejadian. Semua ini pasti melekat di fikiran untuk selama-lamanya.
Sukar menggambarkan tragedi seperti ini akan menimpa Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, yang menjadi ‘mangsa tidak bersalah’ yang kebetulan berada di lokasi itu. Terdapat 600 juta motosikal di dunia dan 12 juta kenderaan dua roda berdaftar di Malaysia.
Setiap hari, kira-kira 93,000 kapal terbang berlepas dari kira-kira 9,000 lapangan terbang dan pada satu-satu masa terdapat antara 8,000 hingga 13,000 kapal terbang di udara.
Muhamad Hafiz kebetulan lalu di lokasi kejadian dan kapal terbang itu mengalami masalah. Kebarangkalian kejadian seperti itu berlaku sangat kecil tetapi ketentuan Allah lebih besar daripada apa mampu difikirkan manusia.
Muhamad Hafiz adalah anak sulung daripada lima beradik yang dilaporkan bekerja keras mencari wang bagi perbelanjaan perkahwinan adiknya. Kepada penulis, ini adalah tragedi. Tetapi apa yang mengganggu fikiran ialah arwah Muhamad Hafiz adalah lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Tidak diketahui berapa lama arwah telah bekerja sebagai penghantar makanan atau adakah ia pekerjaan sambilan? Apa yang pasti dia berusaha mencari rezeki halal sehingga ke akhir hayat. Apa yang juga mengharukan kenapa lulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan awam terpaksa memilih profesion penghantar makanan? Menjadi harapan setiap ibu bapa anak dihantar ke universiti dan menggenggam segulung ijazah akan membantu keluarga apabila berjaya.
Sejak episod 1MDB dan pendedahan skandal itu yang bermula pada 2015 Malaysia telah terlalu lama tersekat dalam retorik politik. Tumpuan sejak itu hanya mengenai menjatuhkan kerajaan dan berpolitik. Tempoh pandemik Covid-19 selama lebih 24 bulan memburukkan keadaan.
PRN di enam negeri baru berakhir tetapi cakap-cakap politik masih berjalan seperti esok PRU16. Malaysia harus berhenti dengan demam jatuh-menjatuhkan kerajaan dan kembali kepada asas mentadbir negara serta mengembalikan kegemilangan negara sebagai kuasa ekonomi.
Terlalu ramai anak muda berkelayakan sepatutnya menyumbang kepada negara. Kegagalan untuk membenarkan mereka menjadi nadi pembangunan negara adalah tragedi lebih besar.
Al-Fatihah dan takziah daripada kesemua kakitangan Media Mulia kepada keluarga semua mangsa.














