fbpx

Fasiliti Jambori Pengakap teruk, Korea Selatan dikecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pasti ramai tidak tahu bahawa terdapat kira-kira 57 juta pengakap pada masa ini, manakala pergerakan pengakap bergerak aktif di 174 negara di seluruh dunia.

Ahli persatuan itu yang berusia seawal 11 tahun dan terbuka kepada lelaki serta perempuan, melakukan pelbagai aktiviti khususnya berkaitan ikhtiar hidup seperti berkhemah, mendayung, berenang dan banyak lagi.

Pergerakan pengakap diasaskan oleh bekas pegawai tentera British, Leftenan Jeneral (Bersara), Robert Stephenson Smyth Baden-Powell sekitar tahun 1910.

Jambori Pengakap Sedunia pertama diadakan di London dalam tahun 1920 dan dihadiri oleh 8,000 pengakap dari 34 negara. Jambori tersebut kemudian diadakan selang empat tahun di seluruh dunia.

Negara yang mempunyai pengakap paling ramai ialah Indonesia dengan kekuatan 17 juta anggota.

Baru-baru ini, kekecohan melanda jambori pengakap terbaharu yang diadakan di SaeManGeum, wilayah Jeolla Utara, Korea Selatan dan berlangsung dari 1 Ogos hingga kelmarin.

Pihak penganjur dikatakan tidak melakukan persiapan secukupnya termasuk tapak perkhemahan yang menempatkan seramai 43,000 pengakap dari seluruh dunia dikatakan begitu daif di sebalik peruntukan 100 bilion won (RM348 juta) untuk acara antarabangsa itu.

Aduan paling tular ialah tentang tandas ‘uzur’ dengan air kuning melimpah, manakala berpuluh-puluh pengakap jatuh sakit kerana cuaca terlalu panas, manakala khemah tiada alat pendingin hawa dan sistem penyejukan lemah.

Di sebalik pelbagai kritikan yang dilontarkan, penganjur tidak boleh dipersalahkan 100 peratus tentang kemudahan yang disediakan.

Jambori itu juga menyaksikan kontinjen Amerika Syarikat dan Britain pulang awal kerana tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan.

Acara itu sendiri adalah jambori atau perhimpunan pengakap iaitu mereka yang mempelajari pelbagai kemahiran tentang ikhtiar hidup.

Kalau dahulu, perkhemahan pengakap (bukan skala besar) melibatkan anggota-anggota mendirikan khemah, memasak, membina unggun api dan melakukan pelbagai aktiviti berkaitan ikhtiar hidup.

Mungkin juga zaman semakin moden dan kemudahan semakin selesa menyebabkan sesetengah pengakap menjadi agak ‘manja’ dengan persekitaran mereka.

Kesilapan terbesar penganjur mungkin gagal meramal suhu musim panas mencecah paras ‘menggelegak’ 34 darjah Celsius dan puting beliung yang bakal melanda.

Jambori Pengakap Sedunia kali ini juga adalah yang pertama menyaksikan bantuan bintang K-pop seperti kumpulan Itzy dan NewJeans diperlukan untuk ‘mendodoi’ peserta dan meredakan keadaan.

Acara tersebut berlangsung ketika Korea Selatan berdepan pelbagai cabaran pada tahun ini termasuk banjir besar yang melanda ibu kotanya Seoul dan siri serangan rambang menggunakan pisau.

Mungkin selepas ini jambori pengakap antarabangsa tersebut tidak wajar diadakan semasa musim panas selepas ini, selain memikirkan kemudahan bertaraf sekurang-kurangnya empat bintang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN