NABILA Huda sudah menjadi jenama dalam kitab seni arena lakonan tanah air, baik menerusi drama mahupun filem.
Daripada sisi antagonis, psiko seram sehingga ke karakter sebaik-baik insan, kredibiliti serta versatiliti aktres yang mesra disapa Abil itu tidak perlu disangkal.
Tidak berlebihan jika dikatakan, pemilik nama lengkap Nabila Huda Suhaimi itu tidak pernah gagal meninggalkan dampak dalam apa jua naskhah yang disua kepadanya.
Pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem ke-28 (FFM28), keampuhan lakonannya layak menjadi rujukan pelakon baharu.

– FARIZ RUSADIO & INSTAGRAM NABILA HUDA
Enggan buang masa
Terbuka memberi tip berkaitan seni lakon, namun dia mengakui enggan membuang masa menasihati bakat baharu yang tidak menunjukkan minat terhadap seni lakonan.
Jelas anak kepada penyanyi rock Datuk Amy Search itu, dia tidak akan sesekali berkongsi ilmu mahu pun pengalaman dengan mana-mana pendatang baharu yang bernafsu terjun ke dunia hiburan semata-mata ingin meraih populariti.
“Saya lihat kebanyakan pelakon baharu sekarang ini menceburkan diri dalam arena hiburan kerana mempunyai kepentingan tersendiri.
“Maksudnya mereka jadi pelakon bukan sebab betul-betul nak jadi pelakon, saya boleh nampak dan bukan main tuduh sengaja menghakimi mereka.
“Mereka ceburkan diri kerana nak dapatkan populariti, disanjungi dan dipuji, bukan sebab betul-betul minat berlakon, tetapi bukan semuanya begitu,” getusnya.
Pelakon drama Kamar Kamariah itu sebenarnya enggan menyinggung perasaan pihak lain selain tidak ingin mencetuskan kebencian dengan pelakon baharu.
“Bila saya nampak ada sesetengah pelakon tidak begitu minat dalam bidang ini, saya rasa tidak perlulah untuk berikan nasihat.
“Pada saya, mereka buatlah apa yang mereka suka, lantaklah mereka nak buat apa. Nanti suatu hari nanti mereka pasti akan menyesal.
“Kalau saya cakap lebih atau bagi nasihat, silap-silap orang akan lagi bencikan saya. Jadi jangan gelisah, biarkan saja,” tutur Nabila.

Tidak kedekut ilmu
Begitupun, Nabila tidak kedekut ilmu untuk berkongsi teknik lakonan kepada pelakon baharu yang bersungguh-sungguh menganggap seni sebagai kerjaya.
“Dahulu saya berharap mereka yang baharu ini menginspirasikan gaya lakonan pelakon senior. Ada juga beberapa bakat baharu yang jujur, memang nak jadi pelakon, itu bagus.
“Ada yang jumpa saya dan tunjuk hormat, ajak berbual dan tanya tip atau teknik lakonan yang berkesan.
“Jika pendekatan sebegitu, saya akan kongsi ilmu yang saya boleh bagi kepada mereka,” katanya lagi.
Paling penting kata Nabila, perlu ada kesungguhan dalam setiap bidang yang diceburi kerana apabila hasil kerja berkualiti ditunjukkan, populariti akan datang tepat pada waktunya.
Enggan larut dalam polemik perihal pelakon baharu raih populariti tidak seiring kualiti, Nabila sempat berkongsi pengalamannya membawa watak Ramlah dalam filem Rahsia versi reboot, baru-baru ini.

‘Berhantu’ watak Ramlah
Aktres kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui, selain naskhah itu sendiri sudah berat, watak tersebut menuntut penjiwaan yang sangat mendalam.
“Awalnya saya kena memahami watak Ramlah lakonan Noorkumalasari dalam filem asal, selepas dapat skrip versi reboot, saya baca untuk faham jalan cerita versi itu pula dengan cuba seimbangkan pembawaan dari segi tema, konsep dan mood karakter.
“Ramlah sangat kompleks, saya sendiri tercungap-cungap menjayakannya,” kongsinya.
Lebih teruk namun berkesan, watak wanita terbabit seolah-olah meresap ke dalam batang tubuhnya sehingga mempengaruhi kehidupan peribadinya.

Menurut Nabila, perkara tersebut disedari suami serta anaknya ketika pulang ke rumah usai penggambaran filem berkenaan.
“Bila saya balik, suami kata dia tidak selesa bertemu saya pada ketika itu. Dia kata perangai saya lain, padahal saya rasa normal macam biasa.
“Anak saya Keisha pun nampak perubahan itu. Kemudian, suami suruh saya buang dahulu watak tersebut di luar rumah. Jangan bawa balik watak Ramlah sebab dia tak suka.
“Watak itu buat saya jadi agresif dan cepat marah. Kalau kita berlakon, kita akan ambil mood.
“Jadi, untuk hilangkan watak itu, saya kena ambil kembali mood gembira sebelum masuk rumah supaya suami dan anak tidak terganggu,” jelasnya memberi noktah perbualan.

















