fbpx

Rakyat sekarang sudah bijak menilai – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI yang ditunggu-tunggu rakyat untuk mengundi bagi memilih wakil rakyat di enam negeri sudah tiba.

Lebih 9.7 juta rakyat akan menunaikan tanggungjwab dengan rata-rata mereka dilihat bersemangat untuk memilih wakil rakyat di Dewan Undangan Ne­geri (DUN) masing-masing.

Seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan ekoran tiada gabu­ngan parti politik yang memperoleh majoriti.

Bagaimanapun, timbulnya desas-desus Kerajaan Perpaduan yang baru lapan bulan ditadbir bakal ‘terancam’ dan ‘ditumbangkan’ jika tidak memperoleh majoriti penuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Mengulas mengenainya, Peng­analisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pertukaran kerajaan adalah perkara yang amat mustahil berlaku ke­rana bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan akan ‘ditumbangkan’ merupakan salah satu cara untuk membentuk persepsi bagi menggugat ke­selamatan dan politik di negara ini.

“Kita melalui proses yang cukup sukar, proses yang mendatangkan trauma dan tidak disukai ramai dalam pilihan raya serta pembentukan kerajaan pada sebelum-sebelum ini.

“Jadi, tidak seharusnya masyarakat jadi individu yang tidak bertanggungjawab dengan mula memikirkan untuk mengganti kerajaan sekarang. Persepsi seperti ini tidak baik dan boleh jejas keselamatan negara.

“Kita perlukan kerajaan yang stabil terutama selepas fasa endemik untuk memulihkan negara daripada permasalahan yang timbul sama ada di pe­ringkat domestik mahupun antarabangsa selain menumpukan ke arah pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas beliau, Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Rakyat seharusnya angkat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara agar dapat elakkan ideologi yang menjurus kepada kemudaratan,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial UiTM, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, pertukaran kerajaan dalam masa terdekat akan memberi impak kepada rakyat.

“Pada waktu kritikal ini, ke­sejahteraan rakyat perlu diuta­makan berbanding agenda politik termasuk untuk mengambil alih negara.

“Bagi saya soal kesejahteraan dan kebajikan rakyat lebih pen­ting. Sudah pasti pertukaran pentabiran beri impak kepada rak­yat kerana kita sudah penat me­lalui pelbagai episod politik negara yang menjemukan.

“Buat masa ini, masalah ­rakyat harus diselesaikan khususnya kenaikan harga barang makanan, sewa rumah dan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, rakyat sema­kin bijak membuat penilaian ke­rana sudah melalui tiga pentadbiran berbeza bukan hanya mahu dengar janji kosong semata-mata.

“Solusi yang sesuai dan terbaik perlu dibentangkan kepada rakyat. Masalah rakyat nampak­nya masih belum berubah walaupun sudah melalui beberapa pentadbiran. Kita tidak mahu hanya janji sekadar kosong, tetapi walk the talk.

“Rakyat kini semakin arif memilih yang mana satu baik dan yang mana satu sederhana dan yang mana satu sekadar janji kosong,” ujar beliau.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN