fbpx
PENGAKAP bersiap sedia meninggalkan tapak perkhemahan Jambori Pengakap Sedunia di Buan, wilayah Jeolla Utara hari ini. – AFP

Korea Selatan dicemuh kerana Jambori Pengakap Sedunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEOUL, Korea Selatan  – Korea Selatan memindahkan berpuluh-puluh ribu pengakap hari ini dari kem jambori yang dibelenggu pelbagai masalah menjelang ketibaan ribut puting beliung, beberapa hari selepas gelombang haba mengakibatkan ramai peserta jatuh sakit.  

Media Korea menggelar acara tersebut  ‘memalukan negara’, manakala ibu bapa mengadu tentang keadaan kem yang daif dengan pengakap Amerika Syarikat dan Britain pulang lebih awal.

 

Apa yang berlaku?

Korea Selatan menjadi tuan rumah kepada Jambori Pengakap Sedunia Ke-250 di wilayah  Jeolla Utara, manakala kerajaan mengagihkan peruntukan mega lebih 100 bilion won (RM348.27 juta) untuk acara tersebut. 

Akhbar JoongAng melaporkan bahawa sebahagian dana digunakan oleh kakitangan awam untuk ‘lawatan perniagaan’ yang tiada kaitan dengan menjadi tuan rumah kepada 43,000 pengakap tersebut.

Lawatan ke England dan Perancis pada 2019 melibatkan kunjungan ke Istana Buckingham dan menonton persembahan muzikal di samping merasai minuman wain di Montmartre.

Tapak kem dapat dibina dengan menggunakan infrastruktur berkualiti tinggi sekiranya peruntukan besar jambori digunakan sewajarnya, kata Kim Gi-hyeon yang merupakan pemimpin parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat di laman Facebook.

“Pada ketika ini, penipuan terhadap orang awam mungkin mencapai peringkat penyelewengan dana awam,” kata Gi-hyeon yang menjanjikan siasatan penuh.

 

Kenapa ia begitu teruk?

Penganjur tidak boleh dipersalahkan kerana gelombang haba dan pembentukan puting beliung tetapi kritikan tertumpu kepada masalah yang boleh dicegah iaitu tandas kotor.Imej yang menunjukkan tandas kotor, kekuningan dan air tandas melimpah tersebar meluas di media sosial.

“Ini menyerupai tandas dari era 20 tahun lalu dan ia akan diingati sebagai imej Korea Selatan,” kata seorang netizen di laman perkongsian video YouTube.

Ketua kontingen Britain yang merupakan kumpulan pengakap terbesar dengan lebih 4,000 anggota berkata, kedaifan  sanitasi menjadi faktor utama mereka pulang lebih awal.

 

Apa berlaku sekarang?

Korea Selatan menyatakan bahawa pemindahan awal dari tapak kem itu bukan bermakna acara berkenaan sudah berakhir. Sebaliknya, jambori itu akan diteruskan sehingga penutupan rasminya pada Sabtu ini.

 Semua kumpulan pengakap itu akan ditempatkan di lapan buah bandar dan wilayah bermula hari ini. Seorang wakil rakyat malah menggesa supaya kumpulan K-pop megabintang, BTS bersatu semula dan mengadakan persembahan untuk  jambori itu.

Pengkritik-pengkritik bagaimanapun menganggap penempatan baharu itu menyalahi tujuan asal jambori diadakan.

“Adalah mengecewakan bahawa acara ini bertukar menjadi ‘jambori pelancongan’ dengan peserta mengambil bahagian di lokasi berbeza berbanding di satu tempat sama untuk mewujudkan persahabatan baharu,” demikian menurut JoongAng Ilbo. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN