GUADALAJARA – Pengendali Mexico, Javier Aguirre enggan pasukannya mendabik dada meskipun sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam aksi Kumpulan A semalam.
Menurut Aguirre, masih terdapat banyak aspek permainan yang perlu diperbaiki sebelum mengharungi cabaran lebih getir pada peringkat seterusnya.
“Saya rasa tidak wajar kita berpuas hati walaupun kita menang pada kali ini. Kami bernasib baik kerana pasukan tidak hilang arah walaupun tidak menguasai bola dalam tempoh yang panjang.
“Namun, pujian wajar diberikan kepada barisan pemain kerana Korea Selatan adalah pasukan yang sukar. Kami lebih sabar dan bertahan dengan baik.
“Secara taktikal, mereka benar-benar menyukarkan kami. Pertahanan kami cukup stabil tetapi mereka kurang berani ketika membina serangan dari bawah,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Republik Czech minggu depan, Aguirre menjangkakan satu lagi ujian sukar menanti anak-anak buahnya.
“Republik Czech mempunyai kelebihan fizikal dan pasti bukan perlawanan yang mudah. Kini, barisan pemain perlu gunakan masa yang ada untuk perbaiki kelemahan dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya. – AGENSI














