AWAL pagi Sabtu ini, Burnley akan melayan kunjungan Manchester City di Stadium Turf Moor bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Maka, musim baharu EPL 2023-2024 membuka tirai secara rasmi selepas lebih dua bulan berehat.
Keterujaan dan penantian menjelang musim baharu pastinya menghadirkan demam bola sepak dalam kalangan peminat bola sepak yang tidak sabar untuk menyaksikan aksi, drama, ketegangan, kontroversi dan banyak lagi yang bakal dihidangkan di dalam dan luar padang.
Mengapa tidak? Ramai sudah berkira-kira, menelaah dan meramalkan kekuatan pasukan disokong masing-masing, mungkin musim ini adalah tahun untuk mereka muncul juara berdasarkan segala perkiraan, keberangkalian serta harapan sendiri.
Mungkin ada yang sudah mengisytiharkan Arsenal bakal menjulang kejuaraan EPL musim baharu ini selepas berjaya menewaskan juara bertahan, City pada aksi Piala Perisai Komuniti 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.
Jadi, siapakah pilihan yang akan menjulang gelaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris? Enam gelaran terakhir kejuaraan EPL telah dimenangi antara dua kelab dengan City meraih lima daripadanya dan berusaha untuk muncul pasukan pertama menjadi juara buat kali keempat berturut-turut.
City sudah menjadi salah sebuah kelab memenangi EPL buat kali ketiga berturut-turut dan kedua dalam era Liga Perdana selepas Manchester United.
Berdasarkan perkiraan awal, juara bertahan City adalah pilihan paling jelas seperti apa yang berlaku pada musim-musim lepas.
Pastinya The Citizens mahu memburu sejarah kejuaraan EPL buat kali keempat berturut-turut bahkan mereka sedar mampu menguasai EPL menjelang Tahun Baharu, meskipun bermula perlahan.
Kempunan atau berputih mata, mungkin itu istilahnya buat Arsenal yang hampir menjulang gelaran juara EPL musim lepas. Malah, beberapa waktu kelihatan seolah-olah The Gunners akan menamatkan penantian panjang sejak musim Invincibles 2003/04.
Mungkin tahun ini adalah tahun buat Arsenal yang sudah melakukan pelaburan besar bahkan langkah kanan apabila menewaskan City pada aksi Piala Perisai Komuniti.
Mungkin satu kejutan apabila menamakan Liverpool akan mempunyai peluang yang sama untuk memenangi kejuaraan EPL musim ini, meskipun menamatkan musim lepas 17 mata di bawah The Gunners.
Skuad The Reds diketahui bergelut musim lalu, namun kelab Merseyside itu mampu menamatkan saingan hanya ketinggalan empat mata di belakang kelompok empat teratas. Bolehkah anak-anak buah Jurgen Klopp mendaki lebih jauh?
Manchester United merupakan salah satu pasukan yang menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas musim lepas dan tidak hairan ada yang meramalkan The Red Devils akan berada dalam perebutan kejuaraan EPL musim ini, meskipun United tidak pernah benar-benar menguji City dan Arsenal.
Selepas setahun bersama Erik ten Hag, ia akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana nasib Red Devils musim ini?















