RONA putih suci melatari lokasi pernikahan, Ampang Boathouse yang menjadi saksi penyatuan dua jiwa iaitu penyanyi popular, Shila Amzah dan pempengaruh, Ubai MZ pada 5 Ogos lalu.
Perincian hiasan di segenap penjuru dewan, selain iringan muzik instrumen yang mengiringi ketibaan masuk pengantin lelaki dan perempuan seawal pukul 10 pagi menyuntik momen manis buat kedua mempelai.
Tepat 10.37 pagi, Shila atau Nurshahila Amir Amzah selamat bergelar isteri kepada Ubai hanya dengan sekali lafaz.
Pernikahan Shila dan Ubai menyentuh hati ramai apabila masing-masing menahan sebak mengenang pemergian ibu Ubai yang meninggal dunia akibat kanser seminggu sebelum majlis.
Kehilangan itu amat berat buat buat Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli dan Shila apabila meraikan hari bersejarah mereka tanpa insan istimewa itu.
Namun, apakan daya kuasa Tuhan lebih besar daripada segala-galanya, selain perlu meneruskan majlis masih atas permintaan ibu, Allahyarham Rohani Jamal.
Peminat setia
Menceritakan perkenalan bersama pelantun lagu Selamanya Cinta itu, Ubai mengakui sudah lama meminati Shila sejak zaman persekolahannya lagi.
Pelbagai cara digunakan untuk mendekati anak kepada penyanyi Datuk ND Lala itu sehingga akhirnya berjaya memikat hatinya sekali gus menjawat peranan sebagai suaminya.
“Ada satu hari saya tidak terlibat dengan sebuah program realiti, tetapi saya mahu juga sertai untuk mendekati Shila.
“Saya hanya merancang selebihnya Tuhan tentukan. Inilah perjalanan yang Allah aturkan untuk kami.

“Memang cantik. Usaha memang tidak mengkhianati hasil,” katanya lagi mengenang memori berkenaan.
Berkongsi lanjut, lelaki berusia 25 tahun itu mendedahkan, dia menjadi tempat luahan duka lara Shila ketika sedang dalam proses pulih dari patah hati.
Katanya lagi, peluang mendekati penyanyi wanita itu lebih mudah apabila dia berjaya melakukan siaran langsung bersama Shila dalam aplikasi TikTok.
“Masa mula-mula mendekati dia adalah dalam TikTok apabila kami sering bersiaran langsung bersama-sama.
“Dia pun baru healing (sembuh daripada luka) selepas yang lain hilang. Sayalah yang jadi pengubat.
“Saya nampak peluang untuk mengurat Shila semasa mengorak langkah dalam bidang media sebagai orang di sebalik tadbir bersama Astro,” tambahnya lagi.
Giliran peserta Gegar Vaganza musim kesembilan itu membuka gelanggang cerita apabila dia berkongsi kisah tentang Ubai sangat meminatinya.

“Dia beli album saya yang ada lagu Patah Seribu di Amcorp Mall (Petaling Jaya). Mak cakap sampai pengsan dengar lagu Shila Amzah.
“Ada satu hari perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan dia pasang CD (cakera padat) lagu saya sahaja.
“Masa 2011, dia letak gambar profil muka saya, selain menyatakan ketika saya berkahwin dahulu, dia sudah cakap perkahwinan tidak akan kekal,” seloroh Naib Juara program realiti televisyen One In A Million (OIAM) musim kedua itu.
Perkenalan, anak
Langkah Ubai untuk mengahwini Shila nampak lebih cerah apabila berjaya mendekati sekali gus menjadi bahu untuk penyanyi berusia 33 tahun itu mengadu segala perkara.
Justeru, dia kemudian terus memperkenalkan Shila kepada ibunya tahun lalu di konsert Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) sebagai langkah pertama memikat hati wanita itu.
“Waktu kenal Shila, saya beritahu mak dan dia okey jika itu terbaik untuk saya.
“Jadi, saya terus rancang untuk kahwin. Mula-mula ajak mak pergi GV9 untuk melihat Shila.
“Mak cakap dia suka dengan Shila dan terima untuk kami bersama. Sejak dari itu mereka kerap berjumpa,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai perancangan untuk memiliki cahaya mata, anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu tidak menolak andai dikurniakan rezeki awal.
“Kami tiada perancangan khusus mengenai soal anak. Bagi saya mudah, kami jalani apa yang ada.
“Saya bernasib baik kerana dari segi pemikiran, kami sekufu. Apa-apa urusan walaupun berkaitan Seth, kami akan bincang berdua.
“Bagaimanapun, seandainya ada rezeki anak saya tidak menolak,” tutupnya.














